AHMAD Maslan ketika ditemui media di Pekan Kuala Kubu Baharu. FOTO Eizairi Shamsudin.
AHMAD Maslan ketika ditemui media di Pekan Kuala Kubu Baharu. FOTO Eizairi Shamsudin.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu amat penting untuk dimenangi kerana ia satu manifestasi perpaduan antara parti yang membentuk kerajaan dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sekiranya Pakatan Harapan memenangi kawasan itu, pihaknya optimis dapat menawan PRK lain.

"Itu sebabnya sini amat penting untuk kita menang sebagai satu manifestasi yang baik, hasil perpaduan parti-parti boleh memenangkan suatu tempat yang sukar.

"Kalau menang di sini, kita boleh menang PRK yang lain," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Media PRK Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata, PRK itu yang pertama buat Umno 'membawa' calon daripada DAP untuk pilihan raya.

"Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), (PRK) Tioman merupakan calon Umno, kemudian Pulai calon Amanah, Simpang Jeram (Amanah), Pelangai (Umno), Kemaman (Umno).. Ini kali pertama.

"Itu cabaran yang kami hadapi untuk memberikan naratif dan kami telah memberikan naratif yang betul kepada mereka," katanya yang turut berharap calon kerajaan akan membawa kemenangan yang selesa.

PRK Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru, dengan PH mencalonkan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu Pang Sock Tao.

Beliau bakal berhadapan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut serta dua lagi calon iaitu Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 9:44 PM