Pengurus Besar OSIM Chia Sook Fun (tengah) atlet Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 penyerahan replika kerusi urut OSIM. FOTO BERNAMA
Pengurus Besar OSIM Chia Sook Fun (tengah) atlet Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 penyerahan replika kerusi urut OSIM. FOTO BERNAMA
Saiful Affendy Sapran


Petaling Jaya: Barisan pemenang pingat Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio terus mendapat penghargaan apabila syarikat produk kesihatan, OSIM Malaysia Sdn Bhd menghadiahkan 11 kerusi urut serta dua peralatan urut mudah alih kepada setiap pemenang di ibu pejabat syarikat itu, hari ini.

Ketiga-tiga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Mohd Ridzuan Mohd Puzi (100m T36), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan Ziyad Zolkefli Mohammad (lontar peluru F20) masing-masing menerima kerusi urut model uLove bernilai RM17,888.

Sementara pemenang pingat perak Sukan Olimpik yang juga jaguh badminton perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei dihadiahkan dua kerusi urut iaitu uDiva bernilai RM17,888 serta uLove sebagai tanda penghargaan sumbangannya kepada arena badminton negara selama ini.

Tiga lagi pemenang pingat perak, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta ratu terjun negara Pandelela Rinong turut menerima kerusi urut uDiva.

Tidak ketinggalan juga pemenang pingat gangsa acara keirin Sukan Olimpik, Azizulhasni Awang serta atlet lompat jauh T20 Sukan Paralimpik Siti Noor Radiah Ismail dihadiahkan peralatan urut mudah alih uJolly serta mesin urut kaki uPhoria.

OSIM turut menghadiahkan tiga kerusi urut model uMagic kepada Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai tanda sokongan kepada industri sukan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 9:58 PM