GAMBAR tular remaja perempuan yang mendakwa diculik namun siasatan polis mendapati dia sengaja mereka cerita kerana enggan ke kelas mengaji.
GAMBAR tular remaja perempuan yang mendakwa diculik namun siasatan polis mendapati dia sengaja mereka cerita kerana enggan ke kelas mengaji.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dakwaan seorang remaja perempuan kononnya menjadi mangsa culik semalam, namun berjaya menyelamatkan diri didapati hanya cerita rekaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan lanjut yang dijalankan mendapati remaja berusia 13 tahun sengaja mengada-adakan cerita diculik kerana enggan ke kelas mengaji.

Katanya, soal siasat dan rakaman percakapan mangsa, saksi dan siasatan di tempat kejadian menunjukkan ada keraguan terhadap dakwaan penculikan.

"Mangsa juga takut dimarahi oleh pengadu (ibunya) kerana enggan hadir (ke kelas) mengaji," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, siasatan lanjut mendapati ketika tempoh kehilangannya, mangsa berjalan-jalan di Plaza Wawasan sehingga dikesan pengawal keselamatan Wisma Sedco kerana berada lama di dalam bangunan.

Katanya, remaja terbabit sudah diserahkan kepada ibu bapanya dan diberikan nasihat agar tidak mengulangi perbuatan berkenaan.

Beliau meminta golongan remaja agar tidak mereka cerita berkaitan kes jenayah kerana boleh menimbulkan panik, selain ia satu kesalahan kerana membuat laporan palsu.

"Perbuatan itu juga menyusahkan pihak polis selain membuang masa dan tenaga melakukan siasatan," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial, dakwaan remaja itu yang dikatakan diculik dan dibawa lari menggunakan van putih di Kampung Tanjung Aru Baru, semalam.

Mangsa turut mendakwa mulutnya ditutup bagaimanapun, dia memaklumkan sempat melarikan diri selepas penculik berhenti untuk membuang air kecil di tepi jalan dekat Sutera Harbour, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 10:46 PM