IFA Raziah.
IFA Raziah.
Michelle Gun


Selepas memperkenalkan single Terus Terang tahun lalu, penyanyi dangdut Ifa Raziah bakal melebarkan sayapnya ke Indonesia menerusi lagu baru yang dicipta khas buat pendengar di negara itu.

Ifa, 41, berkata, pasaran muzik dangdut di Indonesia besar dan single baru itu akan dirakamkan dalam bahasa Indonesia sepenuhnya.

“Memandangkan dangdut sangat popular di Indonesia, saya perlu mengambil kesempatan menembusi pasaran muzik sana.

“Namun, saya perlu mematuhi beberapa syarat antaranya lagu itu mesti dicipta sepenuhnya di sana,” katanya.

Selain itu, pengulas ­program realiti dangdut Indonesia, D’Academy Asia Musim Kedua ini memberitahu dia turut dikehendaki menguasai bahasa Indonesia.

“Saya tidak mengambil kelas tetapi ketika berada di Indonesia, saya juga belajar bertutur dengan orang sekeliling.

“Kemungkinan besar saya akan menghabiskan masa di sana untuk menyiap­kan pembikinan single selepas Aidilfitri,” katanya.

Ingatkan mengandung

Berkongsi perkembangan kesihatannya, Ifa berkata, dia menjalani pembedahan merawat luka dalam perutnya akibat masalah asid refluks, baru-baru ini.

Menurut Ifa, waktu makan tidak konsisten akibat kesibukan kerja ketika menggalas tugas sebagai pengulas D’Academy Asia di Indonesia dan diet kurang seimbang antara punca masalah itu.

“Pada mulanya, saya ingat mengandung kerana asyik muntah selepas makan atau minum. Apabila berjumpa doktor, rupanya saya menghidap asid refluks,” katanya.

Menurut ibu dua anak ini, doktor turut mengesan hatinya bengkak dan fibroid sebesar empat sentimeter dalam rahim.

“Bagaimanapun, doktor menasihati terlebih dahulu menjalani pembedahan merawat asid refluks kerana sudah serius. Sekarang, saya perlu menjaga pengambilan makanan supaya masalah sama tidak kembali lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ifa bakal mengadakan persembahan di Jelajah Muzik Safi Balqis bersama Sony Music di lima lokasi dalam negara mulai Ahad depan.

Lokasi berkenaan adalah Mydin Pulau Sebang Melaka (16 April), Universiti Utara Malaysia, Kedah (19 April), Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang (23 April), Universiti Putra Malaysia, Serdang (29 April) dan Mydin Senawang, Seremban (7 Mei).

Barisan artis yang turut terbabit dalam siri jelajah itu adalah Aliff Aziz, Altimet, Ifa Raziah, Ary Hadre, Farisha Irish, Shamim dan Wani.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 12:08 PM