PENGARAH Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Datuk Dr Narimah Nor Yahaya (tiga dari kiri) diberi penerangan oleh Dr Sumithra (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Pengarah Operasi PCMC, Mahenthiran
PENGARAH Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Datuk Dr Narimah Nor Yahaya (tiga dari kiri) diberi penerangan oleh Dr Sumithra (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Pengarah Operasi PCMC, Mahenthiran
Oleh Zaitie Satibi

Kebanyakan pakar perubatan bersetuju rawatan kanser payudara berjaya jika penyakit itu dikesan pada peringkat awal.

Justeru pemeriksaan payudara sama ada dilakukan sendiri atau menggunakan bantuan mesin khas sangat penting kerana ia mampu mengubah hidup wanita yang menghidapinya.

Pelbagai jenis ujian disediakan untuk mengesahkan kanser payudara seperti ujian darah, sitologi dengan picagari, biopsi, ultra bunyi dan mammografi.

Mammografi adalah peralatan pengimejan secara sinaran X pada payudara dan ia terbukti lebih cekap dan menyelamatkan banyak nyawa berikutan kaedah ini mampu mengesan ketulan walaupun paling kecil.

Kecekapan peralatan pengimejan juga bergantung kepada teknologi digunakan dan kualiti imej adalah kunci utama bagi mengesan sebarang keganjilan pada payudara.

Sehubungan itu, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) memperkenalkan inovasi mammografi dan tomosintesis dengan tiga dimensi dikenali sebagai Mammomat Prime 3D Tomosynthesis yang dikeluarkan syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan dan teknologi, Siemens.

Selaras dengan hasrat menawarkan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada pesakit, peralatan terbaru itu adalah pilihan rawatan terbaik sebagai platform mammografi digital untuk pemeriksaan, diagnostik dan biopsi dalam pengimejan payudara.

Keunikan teknologi peralatan berkenaan mampu mengurangkan sehingga 30 peratus penerimaan dos radiasi berbanding alat pengimejan dengan dua dimensi tanpa menjejaskan gambar.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Penjagaan Kesihatan Siemens Malaysia, Dr Maxim Mamin berkata, platform berkenaan dapat menghasilkan imej dengan kandungan diagnostik lebih tinggi, terutama untuk payudara yang padat, dengan itu mengurangkan kadar panggilan balik pesakit bagi menjalani ujian sekali lagi.

"Alat pengimejan dengan fleksibiliti tinggi dan beberapa fungsi melengkapkan reka bentuk terbuka dan tersendiri, dengan itu menyediakan tahap keselesaan tinggi serta menjaga pesakit.

"Kami berharap teknologi yang baru diperkenalkan syarikat ini mampu membantu wanita menentang penyakit yang mengancam nyawa mereka, di samping meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam penjagaan kesihatan," katanya ketika berucap di majlis pelancaran penggunaan peralatan itu di PCMC, baru-baru ini.

Menurutnya, alat pengimejan itu menghasilkan imej 3D payudara daripada pelbagai sudut dan paling penting mampu memaparkan imej tisu payudara dengan lebih jelas, sekali gus membolehkan pakar radiologi meneliti setiap lapisan tisu diingini.

Selain itu, katanya, berbanding mammografi 2D yang hanya boleh mengimbas pada sudut terhad, alat pengimejan 3D mengimbas daripada pelbagai sudut.

Sementara itu, Perunding Pakar Radiologi yang juga Ketua Klinikal Jabatan Radiologi dan Perkhidmatan Perubatan Nuklear PCMC, Dr Sumithra Ranganathan berkata, pemeriksaan mammografi memainkan peranan penting untuk pengesanan kanser payudara kerana sebarang perubahan atau perbezaan pada payudara dapat dilihat sebelum pesakit atau doktor pakar dapat mengesannya.

"Pemeriksaan dengan alat pengimejan ini disarankan kepada wanita berumur 40 tahun ke atas kerana mampu mengesan perubahan pada tisu payudara yang mungkin terlalu kecil untuk dikesan secara pemeriksaan fizikal.

"Menerusi imej 3D, pakar radiologi dan doktor dapat mengesahkan kehadiran sel kanser atau sebarang keganjilan lain. Oleh itu, diagnosis dapat dilakukan dengan lebih tepat dan menjimatkan masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:00 AM