PEMERIKSAAN payudara dengan menekan di sekelilingnya.
PEMERIKSAAN payudara dengan menekan di sekelilingnya.
Siti Zarinah Sahib

Seorang wanita berkelulusan ijazah sarjana sanggup membiarkan payudara membesar dan membusuk akibat kanser payudara kerana tidak mahu dirawat di hospital. Oleh kerana berbadan kecil dia terpaksa mengenakan pakaian longgar bagi menutupi bahagian dada yang membengkak.

Dalam tempoh beberapa tahun wanita ini terpaksa menahan kesakitan dan melakukan rawatan cucian sendiri di rumah bagi membersihkan lelehan nanah dan darah pada payudaranya. Dia memakai anduh pada leher untuk menutupi bekas dan mengelak bau tidak menyenangkan dihidu rakan sekerja.

Namun apabila keadaannya bertambah parah, dia dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Malangnya payudara tidak dapat diselamatkan dan dia hanya dapat bertahan beberapa tahun sebelum meninggal dunia.

Ini antara kisah yang diceritakan Pakar Bedah Pusat Pakar Payudara, Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur, Dr Patricia Alison Gomez, mengenai pesakit kanser payudara yang seperti tidak masuk akal. Bayangkan wanita terpelajar dan tinggal di bandar besar sanggup membiarkan payudara ‘pecah’ semata-mata tidak mahu mendapatkan rawatan.

Apalah yang bermain dalam fikiran wanita ini, adakah malu jika keluarga atau masyarakat tahu mengenai penyakitnya atau tidak sanggup melalui rawatan diberikan kelak?

Hanya kerana ia tidak menyakitkan, ramai yang sanggup membiarkan penyakit ini berkembang hingga menjadi sebesar kubis. Pesakit masih boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa sehinggalah kanser sampai ke tahap empat dan ketika itu harapan untuk sembuh sangat tipis.

Selain itu mereka juga takut kehilangan anggota seksual jika disahkan menghidap kanser payudara. Ketakutan itu timbul akibat salah faham mengenai penyakit yang kini membunuh lebih 500,000 wanita di seluruh dunia pada 2015 dan menjadi pembunuh nombor satu wanita di Malaysia.

“Saya difahamkan, kebanyakannya menganggap harapan untuk sembuh musnah sama sekali apabila sudah dikesan menghidap kanser payudara. Namun realitinya kanser payudara paling mudah dirawat jika dikesan awal. Pesakit tidak perlu takut sekiranya disahkan positif kanser kerana ada pelbagai kaedah rawatan moden dan tidak perlu buang payudara,” katanya yang mengharapkan anggota keluarga terutama pasangan memahami dan memberikan sokongan kepada pesakit untuk menjalani pemeriksaan.

ELAK TAMBAH KESAKITAN EMOSI

Momokan dan kata-kata menakutkan cuma akan mengeruhkan keadaan, sekali gus membuatkan wanita tidak mahu bertemu doktor. Elak menambah ‘kesakitan’ emosi dengan perkataan yang tidak sepatutnya. Sebaliknya, sebagai suami berikan kata-kata semangat dan yakinkan bahawa anda tetap berada di sampingnya walau apa pun terjadi.

“Sokongan sangat penting kerana ia menentukan sejauh mana kesanggupan anda menerima rawatan. Memang ada suami meninggalkan isteri yang disahkan menghidap kanser payudara. Sudah tentu ia memberikan tekanan kepada pesakit untuk menjalani rawatan,” katanya.

Meskipun kanser payudara bermula dengan ketulan pada payudara, tetapi bukan semua ketulan itu kanser. Dalam 100 wanita yang datang menemuinya hanya 10 disahkan kanser payudara. Apa yang penting adalah melakukan pemeriksaan sendiri bagi mengetahui sebarang keganjilan pada payudara.

“Ini boleh dilakukan seminggu selepas haid dengan memeriksa keseluruhan payudara sehingga ketiak menggunakan tiga jari dalam pergerakan berpusing. Sekiranya wanita sering melakukannya mereka dapat mengesan sebarang keganjilan yang muncul kemudian,” katanya.

Terdapat beberapa tanda yang perlu diberikan perhatian, sekiranya ketulan atau benjolan disertai kesakitan mereka tidak perlu takut kerana kebiasaannya ia bukan kanser sebaliknya ketulan yang tidak sakit patut diberikan perhatian. Tanda yang lain adalah bengkakan kecil pada puting payudara, puting terbenam atau berwarna jingga seperti kulit oren serta ada lelehan.

“Jangan abaikan sekiranya anda mempunyai salah satu daripada ini. Segera dapatkan pemeriksaan untuk memastikan sama ada ia kanser atau cuma ketulan cecair biasa. Sekiranya ia adalah kanser rawatan pada tahap awal boleh diberikan segera untuk mengelak daripada pembuangan payudara atau sel kanser merebak ke bahagian lain,” katanya.

MAMOGRAM TIDAK SAKIT

Kegagalan wanita membuat pengesanan awal juga disebabkan sering dimomokkan dengan kesakitan saat melakukan ujian mamogram iaitu mesin berasaskan imbasan sinar-x yang direka khusus bagi mengenal pasti keabnormalan tisu pada payudara.

Dakwaan prosedur mamogram menyakitkan adalah tidak benar. Ada pula memberitahu payudara menjadi leper ketika mesin melakukan imbasan juga tidak masuk akal.

“Sedihnya ramai yang mempercayai walaupun sebenarnya mamogram menggunakan dos sinar-x yang rendah.

Menerusi teknologi tiga dimensi prosedur ujian mamogram hanya mengepit payudara selama dua saat dan gambar diperoleh dengan jelas. Ia tidak menyakitkan, terasa seperti digigit semut sahaja,” ujarnya.

Wanita berusia 40 tahun dan ke atas digalakkan membuat mamogram dua tahun sekali manakala mereka yang mempunyai genetik menghidap kanser payudara terutama sebelah ibu dinasihatkan membuat pengesanan sendiri dengan lebih kerap. Bagi wanita muda disarankan menjalani imbasan ultra disebabkan tisu mereka masih padat.

“Imbasan ultra mampu mengesan sehingga ke bahagian tisu paling halus. Walaupun kedua-duanya mendatangkan radiasi namun ia sangat minimum. Jadi pesakit jangan bimbang untuk membuat pemeriksaan dan jangan mendengar kata orang terutama mereka yang tiada pengalaman, sebaiknya ikuti nasihat doktor sepenuhnya,” katanya.

Walaupun setakat ini faktor penyebab kanser tidak dapat dipastikan namun jelas Dr Patricia, kanser berlaku disebabkan kehadiran sel yang bertindak di luar tabiat asalnya. Sifat asal, sel-sel ini akan membuat pembahagian dengan kadar terkawal dan dihasilkan mengikut keperluan tubuh individu.

Apabila kadar penghasilan sel melebihi keperluan, ia menghasilkan lebihan tisu. Lebihan tisu ini juga dikenali sebagai ketumbuhan. Ketumbuhan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu benigna (tumor bukan kanser) dan malignan (tumor jenis kanser). Jenis ketumbuhan yang pertama iaitu benigna adalah ketumbuhan tidak membahayakan. Hampir 80 peratus penghidap ketumbuhan payudara dalam kalangan mereka yang mengalami ketumbuhan jenis ini.

Gaya hidup tidak seimbang dikatakan pencetus kepada kanser payudara. Tekanan membuatkan gangguan pada hormon seterusnya mengganggu perjalanan darah. Untuk mengelak penyakit terutama berkaitan kanser individu perlu mengamalkan pemakanan sihat, bersenam dan sentiasa dalam keadaan ceria.

“Untuk wanita yang sudah berumah tangga pastikan tidak merancang dan mengandung awal untuk mendapatkan anak ramai sekurang-kurangnya tiga orang. Susukan bayi selama enam bulan secara eksklusif dan diteruskan selama dua tahun. Ia antara cara untuk mencegah kanser payudara selain mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 10:25 AM