DR ROZI bersama Nor Reha dan Amizi sedang mengadakan perbincangan kesihatan.
DR ROZI bersama Nor Reha dan Amizi sedang mengadakan perbincangan kesihatan.
HM Digital

Menurut Pengarah Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datin Dr Rozi Mahmud, fungsi CaRE adalah memberi penerangan kepada orang ramai mengenai kanser. Untuk mencapai tujuan ini pendidikan kepada komuniti akan terus diberikan secara berkala menerusi ceramah kesedaran kanser, penerbitan buku dan bahan ilmiah serta pendidikan pentingnya membuat pengesanan awal.

Katanya, CaRE juga menjalankan penyelidikan mengenai kanser dan maklumat mengenainya disalurkan kepada pesakit, keluarga, pelajar, penyelidik, doktor, jururawat serta masyarakat dengan cara yang lebih mudah.

“Kewujudan CaRE memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan jenis penyakit, cara rawatan, perubatan dan tip penjagaan semasa dan selepas rawatan. Bahan rujukan dan pembelajaran berkaitan dengan kanser juga disediakan dalam bentuk lebih ringan dan mudah difahami.

“Kanser payudara contohnya mudah dikesan dengan merasai sebarang bentuk keganjilan pada payudara. Oleh itu wanita perlu memeriksa payudara sendiri untuk mengesan sebarang ketulan, bentuk yang berbeza atau lelehan pada puting,” katanya.

Tambahnya, pengesanan awal adalah sangat penting sebagai langkah pencegahan awal. Selain dapat mengurangkan kos rawatan individu juga mampu menjalani kehidupan yang lebih berkualiti bersama keluarga.

Sebagai contoh, jika kanser dikesan pada tahap satu (dan mendapat rawatan) peluang untuk sembuh ialah 80 hingga 90 peratus dan kadar akan menurun kepada 10 peratus sekiranya kanser itu dikesan selepas ia merebak kepada organ lain.

Pengesahan awal juga bermakna pembedahan yang mencacatkan dan yang menyebabkan kehilangan payudara tidak perlu dilakukan. Rawatan kemoterapi dan radioterapi juga mungkin boleh dielakkan.

Namun realitinya apa juga jenis kanser, ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit sudah merebak dan berada pada tahap yang teruk.

Bagi yang mempunyai sejarah keluarga mempunyai kanser seharusnya lebih berhati-hati dan menjalani pemeriksaan sebelum usia mencedah 40-an. Begitu juga mereka yang obes, merokok, minum minuman keras turut mempunyai risiko tinggi mendapat kanser.

Untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya kanser, CaRE menyediakan perkhidmatan saringan awal kanser menggunakan mesin ultra bunyi yang dikendalikan Dr Rozi sendiri yang juga seorang pakar radiologi. Perkhidmatan ini disediakan pada setiap Rabu bertempat di CaRe menggunakan mesin ultra bunyi bebas radikal.

“Perkhidmatan ini terbuka untuk orang ramai. Mereka boleh memilih sama ada untuk menjalani pemeriksaan keseluruhan abdomen termasuk hati, pundi kencing, limpa, buah pinggang, kelenjar adrenal, rahim dan ovari atau keseluruhan abdomen termasuk payudara. Bayaran dikenakan juga adalah lebih murah berbanding di klinik atau hospital swasta,” katanya.

Jika selepas pemeriksaan didapati terdapat keganjilan atau masalah, individu akan dirujuk kepada pakar bagi mendapatkan rawatan lanjut. Bagi yang disahkan menghidap kanser mereka boleh menjalani sesi kaunseling yang dikendalikan pakar dalam bidang kesihatan mental dan komuniti serta menjalani program bersama bekas pesakit kanser yang lain.

Selain ultra bunyi, untuk ujian kanser payudara mereka yang berusia 40-an dan ke atas digalakkan menjalani ujian mamogram setiap dua tahun. Teknologi moden dan terkini dalam perubatan sebenarnya tidaklah menyakitkan seperti yang diperkatakan.

“Oleh itu tiada alasan untuk seseorang itu tidak mahu menjalani ujian saringan awal kanser terutama mereka yang berisiko tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 2:45 PM