Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Polis menjangkakan trafik sesak pada 7 dan 8 Mei ini apabila orang ramai mula meninggalkan kampung halaman masing-masing untuk pulang ke lokasi masing-masing.

Ketua Jabatan Siasatan Perundangan dan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Ismail Man berkata, trafik dijangka meningkat empat hingga lima kali ganda pada tarikh berkenaan.

"Justeru, orang ramai dinasihati supaya merancang perjalanan agar tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang lama," katanya hari ini.

Menurutnya, hari ini sudah berlaku pergerakan kenderaan keluar dari negeri ini untuk pulang ke destinasi masing-masing, namun masih terkawal.

"Tinjauan jalan raya dan udara bersama JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dibantu Pasukan Gerakan Udara (PGU) mendapati beberapa laluan dari arah Setiu dan Kuala Nerus menghala ke Plaza Tol Gemuruh, masih lagi terkawal.

ANGGOTA trafik melakukan penyuraian jalan raya di hadapan sebuah stesen minyak Kampung Calok, bagi mengelak kesesakan lalu lintas. FOTO Nazdy Harun.
ANGGOTA trafik melakukan penyuraian jalan raya di hadapan sebuah stesen minyak Kampung Calok, bagi mengelak kesesakan lalu lintas. FOTO Nazdy Harun.

"Sementara, tinjauan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu laluan menghala ke ke Plaza Tol Gemuruh juga lancar walaupun jumlah kenderaan meningkat," katanya.

Ismail berkata, secara keseluruhannya semua laluan utama masih lancar.

"Cuma di beberapa tempat saja terutama kawasan laluan daripada dua lorong menjadi satu dan persimpangan lampu isyarat, namun kita masih lagi dapat mengawal keadaan lalu lintas di kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 5:53 PM