IDEA susun atur yang menarik untuk meraikan tetamu Aidilfitri.
IDEA susun atur yang menarik untuk meraikan tetamu Aidilfitri.
Hartini Mohd Nawi


Mengamalkan petua orang dulu-dulu dalam kerja landskapnya membuatkan suasana taman diinginkan kini berada di depan mata.

Saban hari Hasnah Abd Aziz, 44, menggunakan sebaik mungkin petua itu khususnya ketika penyiraman dan pembajaan tanaman.

“Orang kita terkenal dengan kaya petua termasuk kaedah untuk tanaman menjadi segar, subur, mudah berbuah dan tidak cepat mati.

“Saya antara yang tidak terkecuali mengamalkannya termasuk menggunakan air rendaman beras untuk menyiram orkid.

“Sisa makanan pula ‘mujarab’ sebagai baja tanaman,” katanya ketika ditemui di kediamannya, baru-baru ini.

Ditambah dengan minat mendalam terhadap dunia landskap juga mendorong wanita ini melakukan yang terbaik demi memastikan taman dibina benar-benar semula jadi.

Sejak usia 30 tahun lagi Hasnah sudah mula berjinak-jinak dengan dunia landskap apabila kediaman ibu bapanya diwarnai pelbagai jenis tanaman yang sesetengahnya hasil sentuhan kreatifnya.

Malah, beliau tidak menafikan ketika Aidilfitri bakal menjelang, kerja penyelenggaraan landskap dilakukan lebih awal supaya segala perancangan berjalan lancar.

“Sebenarnya, penataan taman konsep natural ini tidak hanya terhad ketika musim perayaan semata-mata.

“Setiap masa jika ada kelapangan, menyelenggara taman antara yang saya beri perhatian,” katanya yang mendapat sokongan moral suami tercinta Asari Mamud, 62.

Hasnah berkata, konsep taman terus dikekalkan biar pun musim perayaan. Sentuhan idea baru diketengahkan termasuk menempatkan pelbagai koleksi bunga hiasan sesuai dan elemen hiasan tambahan.

“Lebih memberikan kepuasan apabila taman ini selesa dan sedap mata memandang,” katanya.

Beliau yang mendiami rumah ini sejak tiga tahun lalu, jadi kerja menanam dan membina landskap dilakukan sedikit demi sedikit.

“Apabila tibanya musim perayaan seperti Aidilfitri, idea segar cuba diketengahkan sebaik mungkin supaya tetamu dan sanak-saudara yang bertandang lebih selesa.

“Sambil mengeratkan silaturahim, bersantai sambil berjalan-jalan di taman tentunya lebih menyegarkan pandangan mata,” katanya.

Kerja penyelenggaraan yang dilakukan secara rutin itu membuatkan taman natural itu bagaikan terapi terbaik.

Malah suasana taman yang terjaga rapi juga secara jelas tidak menggambarkan taman berkenaan sebenarnya sebuah nurseri.

Menggunakan nama As Yellow Green Nursery, ia hakikatnya tidak asing lagi bagi penduduk sekitar.

Anda yang tercari-cari tanaman hiasan boleh dapatkannya di nurseri atau taman indah itu.

“Tiada perancangan untuk mewujudkan nurseri pada laman kediaman saya ini pada mulanya.

“Namun segalanya berubah sejak tahun lalu apabila tanaman yang dibeli sedikit demi sedikit tumbuh subur dan ada pula rakan berminat membelinya.

“Dari situ idea tercetus yang asalnya sekadar suka-suka dan sekurang-kurangnya saya berpeluang berkongsi ilmu dengan peminat landskap yang lain,” katanya.

Justeru anda yang berminat boleh mengunjungi As Yellow Green Nursery di Lot 9769, Batu 11 1/2, Jalan Bernam, Tanjong Karang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2016 @ 5:04 AM