KHAIRUL ANNUAR meneliti tanaman yang melengkapkan landskap hijau di kediamannya.
KHAIRUL ANNUAR meneliti tanaman yang melengkapkan landskap hijau di kediamannya.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Orkid antara tanaman hiasan yang sering menjadi pilihan masyarakat negara ini.

Mudah ditanam, diselenggara dan tahan lasak berbanding tanaman lain meletakkan orkid sebagai penyeri taman.

Tanaman ini biasanya membiak di kawasan hutan, tetapi hari ini ramai peminat dari seluruh dunia lebih gemar menjadikan koleksi orkid untuk menghiasi taman pada kediaman.

Gemarkan suasana semula jadi dan mendamaikan antara faktor membuatkan landskap di kediaman Khairul Annuar Mohamed Idris, 45, tampil menarik.

Apatah lagi orkid menjadi tanaman hiasan paling dominan ditambah dengan dekoratif susun letak yang menarik.

“Memang sejak dulu orkid antara tanaman pilihan kerana ia bukan jenis manja dan perhatian rapi.

“Jika kena dengan cara atau teknik penanamannya, ia mampu hidup subur dan menghasilkan bunga menarik,” kata Khairul Annuar yang juga pengusaha batik.

Malah suasana pagi, petang dan malam menjanjikan keindahan berbeza apatah lagi landskap selepas hujan.

“Ketika pagi, pemandangan hijau orkid yang sesekali berbunga benar-benar memberikan ketenangan buat kami sekeluarga.

“Situasi itu juga banyak mengajar kami lebih menghargai keindahan alam semula jadi,” kata bapa kepada empat cahaya mata ini.

Pada masa sama ia mendorong Khairul Annuar dan keluarga menimba sebanyak mungkin ilmu penanaman orkid.

“Hasilnya daripada beberapa jenis orkid saja, kini koleksi kami makin bertambah selain ada benih dihadiahkan sahabat yang mempunyai minat sama.

“Menanam orkid membantu kita lebih peka, memanfaatkan masa terluang dan mencipta suasana hijau tanpa bajet tinggi,” kata Khairul Annuar ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pintu Geng, Kota Bharu, baru-baru ini.

Biarpun bermula sekadar hobi, apabila melihat hasilnya ia nyata berjaya menyerlahkan sebuah taman hijau.

Beliau tidak menafikan baja dan air antara keperluan utama untuk kebanyakan jenis orkid.

Bagaimanapun, ada ribuan jenis orkid hidup dalam keadaan yang pelbagai.

“Penanaman orkid memerlukan kita menentukan medium yang sesuai mengikut habitat asalnya.

“Medium tanaman seperti serpihan atau pecahan batu-bata, serbuk kayu, sejenis lumut dikenali sphagnum moss, potongan batang paku pakis gajah, tunggul kayu dan tanah campuran,” katanya.

Bagi memastikan ia subur dan kekal menarik sepanjang masa, keperluan hidup tanaman ini perlu dikaji dan diteliti terlebih dulu dari segi teknik, petua serta cara penjagaan.

“Penanaman orkid memerlukan kita menentukan medium sesuai mengikut habitat asalnya,” katanya.

Waktu siraman terbaik ialah pagi dan tidak digalakkan menyiram ketika malam kerana boleh menyebabkan berlaku pereputan.

Anda juga boleh menukar pasu atau bahan penanaman sekali setahun selepas bunga yang terakhir gugur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 5:01 AM