TARIKAN kehijauan tanaman dalam suasana ala Inggeris.
TARIKAN kehijauan tanaman dalam suasana ala Inggeris.
BERSANTAI di tepi kolam air berpancuran ini pastinya memberikan ketenangan.
BERSANTAI di tepi kolam air berpancuran ini pastinya memberikan ketenangan.
KEHIJAUAN tanaman menjalar, ficus pumila ini menghiasi dinding luar kediaman.
KEHIJAUAN tanaman menjalar, ficus pumila ini menghiasi dinding luar kediaman.
Hartini Mohd Nawi


Kunjungan penulis dan jurugambar ke kediaman di kampung Medan, Telok Panglima Garang, Selangor ini nyata memberikan pengalaman tugasan amat menarik.

Siapa tidak teruja sebaik menyaksikan deretan bunga ros ditanam dalam pasu yang sesetengahnya berbunga mekar membawa aura keindahan tersendiri.

Susun letak tanaman dari koleksi itu melengkapkan penataan landskap desa ala Inggeris yang cuba diketengahkan.

Tidak hanya pokok bunga ros yang menjadi pilihan, malah inspirasi ketenangan di taman turut diserikan dengan pelbagai tanaman dan elemen hiasan lain.

Dekoratif pintu gerbang putih tertulis Slash Garden dihiasi pelbagai jenis bunga ros mekar berkembang juga membuktikan ia benar-benar membawa konsep penataan landskap desa ala Inggeris.

Ditambah dengan dinding luar kediaman yang bersalut dedaun hijau menjalar ficus pumila atau biasanya dikenali ‘creeping fig’ pula sudah cukup menggambarkan pemiliknya antara pencinta landskap yang tegar.

Siti Ruby Mahyah, 39, tidak lokek berkongsi petua penyelenggaraan tamannya itu supaya kekal menarik sepanjang masa.

“Satu yang ingin saya ketengahkan adalah inspirasi ketenangan dan ia sememangnya menjadi terapi semula jadi buat kami sekeluarga.

“Sekurang-kurangnya suasana ini membantu kami untuk lebih dekat dengan alam dan menghargai ciptaan Allah ini,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.

Sambil menikmati sajian sarapan istimewa yang disediakan Siti Ruby, halwa telinga dihiburkan dengan bunyi desiran air dari kolam ikan di taman yang terletak bersebelahan ruang makan santai itu.

Suasana redup, dingin dan nyaman dapat dirasai sebaik berada di ruang yang sarat dengan dekoratif seni dan tanaman hijau.

Uniknya, ruang makan santai itu seolah-olah berada di tengah taman itu turut menghubungkan ruang dapur dan ruang tamu yang juga bergaya Inggeris.

“Ruang makan santai pelbagai fungsi ini sengaja diwujudkan sebegini untuk mencipta keselesaan berpanjangan.

“Persekitaran hijau dan warna-warni bunga ros di depan mata membuatkan kewujudan ruang ini amat bermakna bagi kami sekeluarga dan mungkin juga tetamu,” katanya yang tinggal di situ sejak mendirikan rumah tangga dengan suami tercinta Muhammad Salleh Salleh, 48.

Sambil meninjau keindahan keseluruhan taman dari bahagian luar hingga belakang, anak kelahiran Selangor ini turut berkongsi petua penyelenggaraan taman.

“Setiap hari, sekurang-kurangnya perlu luangkan sedikit masa walaupun sibuk dengan urusan lain.

“Ini kerana pokok memerlukan penjagaan dan perhatian sepenuhnya.

“Pokok yang tahan lasak juga perlu ditinjau perkembangannya supaya kekal subur sepanjang masa,” katanya yang turut berbangga apabila pokok harumanis tumbuh dan mula berbuah di tamannya itu.

Keterujaan berada di taman lebih bermakna apabila penulis turut dibawa melewati spa Muslimah milik Siti Ruby.

Aura landskap desa ala Inggeris dilihat sempurna dengan kehadiran pelbagai tanaman termasuk hydrangea dan ros serta beberapa aksesori hiasan pelengkap gaya berkenaan.

Bagaimanapun, peminat tegar bunga ros itu tidak pernah berhenti menimba ilmu berkenaan tanaman itu menerusi pelbagai medium.

Lebih membanggakan apabila beliau memanfaatkan penyertaannya sebagai ahli Kelab Ros HoneyBee.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 2:02 AM