DUTERTE
DUTERTE
AFP

Manila: Polis Filipina menembak mati tiga lagi suspek pengedar dadah kelmarin, kejadian tembakan terbaru selepas bakal Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berikrar menghapuskan jenayah dengan apa cara sekali pun.

Kejadian berlaku apabila satu pasukan polis menyerbu kediaman suspek pengedar dadah di pulau Banacon, berhampiran Cebu pada pagi kelmarin.

Polis berkata, beberapa suspek melepaskan tembakan kepada polis menyebabkan mereka terpaksa membalas serangan yang menyebabkan empat lelaki cedera.

“Suspek pengedar dadah, Rowen Secretaria dan dua lelaki tidak dikenali disahkan mati ketika dirawat di hospital manakala seorang lagi lelaki cedera parah,” kata jurucakap polis, Roel Lagora.

Datuk Bandar Cebu, Tomas Osmena memberitahu, Secretaria adalah ketua pengedar dadah terbesar di dua daerah di bandar itu.

“Ini adalah satu daripada empat operasi yang dijalankan pada minggu ini,” katanya.

Dalam tempoh seminggu, seramai 12 suspek pengedar dadah dibunuh polis manakala beberapa lelaki bersenjata membunuh dua individu yang mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.

Duterte sebelum ini memberi amaran, pasukan keselamatan akan membunuh puluhan ribu penjenayah dan tidak mengendahkan hak asasi manusia.

Ketika kempen pilihan raya, Duterte berjanji untuk menghapuskan ketua pengedar dadah selepas isu jenayah menjadi kebimbangan utama pengundi.

Bagaimanapun, polis menafikan mereka sudah melaksanakan janji pilihan raya Duterte itu yang dijadual mengangkat sumpah sebagai presiden yang baru pada 30 Jun ini.

Polis menegaskan bahawa tindakan anggotanya menembak mati lapan suspek dalam kejadian sebelum ini adalah perbuatan mempertahankan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 7:22 AM