Presiden Rodrigo Duterte (engah) mengakui berlaku rasuah dan salah guna kuasa oleh polis dalam perang dadah yang diisytiharkannya.
Presiden Rodrigo Duterte (engah) mengakui berlaku rasuah dan salah guna kuasa oleh polis dalam perang dadah yang diisytiharkannya.
AFP

Manila: Amnesty International menegaskan polis Filipina berkemungkinan melakukan jenayah kemanusiaan dengan membunuh ribuan orang yang didakwa penagih dan pengedar dadah tanpa bukti sah serta membayar pihak lain untuk melakukan pembunuhan itu dalam perang dadah yang diisytiharkan Presiden Rodrigo Duterte.

Amnesty dalam laporannya menyatakan, ia melakukan siasatan mendalam terhadap perang dadah itu dan mendapati polis melakukan jenayah dengan membunuh tanpa bukti yang mensasarkan golongan berpendapatan rendah.

Penasihat Kanan Krisis Amnesty, Rawya Rageh, berkata: “Bertindak atas arahan pemimpin tertinggi, polis dan pembunuh tidak dikenali mensasarkan sesiapa saja yang hanya disyaki mengguna atau menjual dadah tanpa siasatan.

"Siasatan kami menunjukkan gelombang pembunuhan ini merebak luas, disengajakan dan sistematik yang boleh membawa kepada jenayah terhadap kemanusiaan.”

Selepas kejadian polis menculik dan membunuh ahli perniagaan Korea Selatan bagi wang tebusan menggunakan alasan serbuan dadah ketika menyerbu rumah mangsa, Ketua Polis Filipina, Ronald Dela Rosa, menghentikan membubarkan unit anti dadah dan henti semua serbuan.

Berikutan skandal itu, Duterte mengakui berlaku rasuah dan salah guna kuasa dalam pasukan polis.

Antara jenayah polis itu menurut Amnesty, menembak mati mereka yang tidak melawan, memalsukan bukti dan membayar pembunuh upahan untuk membunuh mereka yang kononnya disyaki sebelum mencuri daripada mangsa dan keluarganya.

Amnesty juga mendakwa polis menerima bayaran daripada ketua mereka untuk melakukan pembunuhan itu dengan mangsa termuda direkodkan berusia lapan tahun.

“Polis bertindak seperti penjenayah kumpulan haram yang sepatutnya mereka basmi bagi menegakkan undang-undang,” kata laporan itu.

Duterte yang menjadi presiden tahun lalu, ketika kempennya berjanji menghapuskan masalah dadah dalam masa enam bulan dengan membunuh ribuan orang.

Beliau pernah berikrar 100,000 akan dibunuh dan mayat mereka akan dicampak ke Teluk Manila sehinggakan ikan di situ gemuk.

Duterte memulakan perang dadah tujuh bulan lalu, dan sehingga kini, lebih 6,500 orang sudah dibunuh dengan 2,555 oleh polis manakala hampir 4,000 lagi tidak diketahui pembunuhnya.

Menurut laporan Amnesty, Duterte mengetahui polis melakukan perang terhadap penduduk miskin dan memberi amaran Mahkamah Jenayah Antarabangsa perlu memulakan siasatan.

“Polis melakukan pembunuhan itu kerana desakan pemimpin tertinggi serta insentif kewangan yang diterima,” kata Amnesty yang menyiasat kematian 59 orang dan mendapati majoritinya pembunuhan tidak mengikut undang-undang.

Dalam sejumlah kes, saksi menyatakan mangsa yang ditembak tidak bersenjata atau tidak melawan ketika hendak ditahan, malah polis sengaja meletakkan dadah atau senjata yang kemudiannya ‘dirampas’ kononnya sebagai bukti.

Dalam satu kejadian, Gener Rondina, 38, berkata “Saya menyerah diri, Saya menyerah diri” ketika polis menyerbu rumahnya di Cebu dan menurut saksi, Rodina kemudian berlutut, meletakkan tangan di belakang kepala namun polis menembaknya.

Apabila anggota keluarganya dibenar masuk ke dalam rumah enam jam kemudian, mereka dapati barangan berharga termasuk komputer riba, jam dan wang hilang.

Menurut Amnesty, mereka yang disyaki dalam senarai polis tidak disertakan bukti kukuh dengan sebahagian besarnya hanya berdasarkan laporan orang ramai tanpa sebarang siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 5:40 PM