ANGGOTA polis memerika mayat seorang suspek dadah yang ditembak mati di bandar Plaridel di wilayah Bulacan. - EPA
ANGGOTA polis memerika mayat seorang suspek dadah yang ditembak mati di bandar Plaridel di wilayah Bulacan. - EPA
Agensi

Manila: Presiden Rodrigo Duterte semalam mengaku ada berlaku salah guna kuasa dalam kempen memerangi dadah yang setakat ini menyebabkan lebih 400 orang dibunuh.

Pemimpin Filipina itu bagaimanapun berkata, dia tidak akan berundur daripada peperangan yang dilancarkan itu walaupun dikritik kumpulan hak asasi manusia.

Bercakap kepada wartawan, Duterte berkata, kebanyakan pengedar dan penagih dadah yang ditembak mati oleh polis cuba melawan.

Namun, katanya, dia percaya ada polis yang menyalah guna kuasa dalam kempen itu.

“Kerajaan akan menyiasat jika ada salah laku dalam kempen itu,” katanya.

Dalam sidang akhbar lain di Davao City, Duterte mengulangi arahan menembak untuk tujuan membunuh pengedar dadah, termasuk ahli politik yang terbabit dalam perdagangan itu.

“Selagi ia dilakukan kerana mengikut arahan saya, saya yang bertanggungjawab terhadap anggota polis atau tentera yang menembak mati pengedar dadah. Polis tak perlu menyiasat anggota mereka atau tentera yang menembak mati pengedar dadah itu,” katanya.

Ditanya mengenai arahannya menembak untuk tujuan membunuh, Duterte menjawab: “Saya tidak mahu polis membazir peluru. Tembak saja asalkan pengedar dadah itu mati.”

Sementara itu, di Cotabato, polis di Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM) berkata, tiga datuk bandar Lanao del Sur yang dikenal pasti terbabit dalam dadah.

Ketua polis Agripino Javier berkata, ketiga-tiga datuk bandar itu dianggap ‘raja dadah.’ Dia bagaimanapun tidak mendedahkan nama ketiga-tiga suspek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 9:19 AM