KETUA Polis Filipina, Ronald dela Rosa (kiri) memarahi anggota polis yang didakwa terbabit dalam perniagaan dadah di Quezon City, utara Manila, semalam.
KETUA Polis Filipina, Ronald dela Rosa (kiri) memarahi anggota polis yang didakwa terbabit dalam perniagaan dadah di Quezon City, utara Manila, semalam.
AFP

Manila: Puluhan pegawai kerajaan dan polis semalam menyerah diri, sehari selepas Presiden Rodrigo Duterte mengaitkan mereka dengan perniagaan dadah.

Seramai 27 datuk bandar dan 31 pegawai polis, termasuk seorang berpangkat kolonel melaporkan diri ke ibu pejabat polis kebangsaan di Manila untuk membersihkan nama mereka kerana bimbang terhadap arahan presiden untuk memburu mereka jika gagal menyerah diri dalam masa 24 jam.

Kelmarin, Duterte mengumumkan nama 160 pegawai dalam kempen ‘dedah dan malu’ dalam usahanya untuk menghapuskan pengedar dadah di negara itu.

Sementara itu, Ketua Polis Filipina, Donald dela Rosa mengecam anggotanya yang termasuk dalam senarai yang diumumkan Duterte serta mengancam membunuh mereka jika mereka terus melindungi pengedar atau menjual dadah.

“Saya amat marah dengan apa yang berlaku. Saya malu. Kita sepatutnya menangkap pengedar dadah. Sebaliknya kita yang melindungi mereka. Saya akan membunuh anda jika anda tidak berubah.”

Jurucakap polis, Dionardo Carlos berkata, semua anggota polis yang terbabit dilucutkan senjata dan akan disiasat dan didakwa atas tuduhan jenayah jika ada bukti mencukupi.

Selain pegawai awam dan polis, nama yang diumumkan Duterte juga termasuk pegawai kanan polis dan tentera yang bersara serta beberapa hakim.

Lebih 400 suspek pengedar dadah ditembak mati di seluruh negara itu sejak Duterte menjadi presiden.

Stesen televisyen ABS-CNN berkata, jumlah itu melebihi 800 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 10:44 AM