POLIS menahan seorang lelaki dalam satu operasi antidadah di satu kawasan setinggan di Dhaka, Bangladesh kelmarin.
POLIS menahan seorang lelaki dalam satu operasi antidadah di satu kawasan setinggan di Dhaka, Bangladesh kelmarin.
Reuters

Geneva: Bangladesh mempertahankan tindakan melancarkan perang memerangi dadah yang menyebabkan lebih 130 suspek pengedar dan penagih dadah ditembak mati sejak tiga minggu lalu, bagi membendung kebanjiran pil yaba yang semakin serius.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR), Zeid Ra’ad al-Husein, mempertikaikan kewajaran menembak mati suspek seperti dilakukan Filipina sebelum ini.

Zeid berkata, penagih atau pengedar dadah masih mempunyai hak dari segi undang-undang dan menggesa kerajaan Bangladesh menyiasat kematian itu.

“Tidak syak lagi penyeludupan dan jualan narkotik haram menjurus penderitaan besar buat individu dan keseluruhan masyarakat, namun pembunuhan luar undang-undang, penahanan sewenang-wenangnya dan stigmatisasi mereka yang mengambil dadah bukan jawapannya.

“Saya amat bimbang sejumlah besar individu dibunuh dan reaksi kerajaan ialah memberi jaminan kepada orang awam bahawa tiada seorang pun individu ini ‘tidak bersalah’ namun kesilapan boleh berlaku dalam kempen antidadah,” kata Zeid dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, yang meluluskan kempen antidadah awal Mei lalu, bagi menangani penyebaran methamphetamine di Asia, dianggar bernilai AS$3 bilion (RM11.93 bilion) setiap tahun.

Polis menegaskan semua mangsa yang terbunuh adalah ketua pengedar dadah yang dikehendaki dan mereka terbunuh sama dalam pergaduhan sesama kumpulan pengedar dadah atau tembak menembak dengan polis.

Menjawab kritikan Zeid, Menteri Dalam Negeri Bangladesh, Asaduzzaman Khan memberitahu Reuters, pasukan keselamatan terpaksa mempertahankan diri akibat diserang.

“Kami tidak membunuh sesiapa. Tentera kami boleh membalas tembakan jika mereka diserang. Kami akan terus dengan kempen ini untuk menghapuskan dadah bagi menyelamatkan generasi muda. Rakyat menyokong tindakan ini,” katanya.

Selain 130 suspek yang ditembak mati itu, pasukan keselamatan Bangladesh menahan kira-kira 13,000 lagi bagi melaksanakan dasar ‘toleransi sifar’ terhadap penyeludupan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 6:26 AM