SEORANG wanita meratapi kematian anaknya dipercayai pengedar dadah yang ditembak mati di Manila baru-baru ini. - AFP
SEORANG wanita meratapi kematian anaknya dipercayai pengedar dadah yang ditembak mati di Manila baru-baru ini. - AFP
Reuters

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte semalam mengarahkan polis menghentikan sebarang operasi berkaitan dadah, kali kedua pada tahun ini.

Pejabat presiden semalam mengumumkan polis, tentera dan agensi lain diundurkan daripada kempen memerangi dadah yang dilancarkan Duterte sejak berkuasa pada tahun lalu.

Hanya Agensi Penguat Kuasa Dadah Filipina (PDEA) menjadi badan tunggal menjalankan semua kempen dan operasi antidadah.

Punca Duterte menukar peranan polis yang bertanggungjawab dalam kebanyakan tangkapan dan menembak mati suspek tidak diketahui.

Lebih 3,900 suspek ditembak mati dalam kejadian yang didakwa polis untuk mempertahankan diri daripada penjenayah yang bersenjata.

Duterte menggantung semua operasi dadah yang dijalankan polis pada Januari lalu selepas beberapa anggota polis menculik dan membunuh seorang ahli perniagaan Korea Selatan.

Bagaimanapun, dia menarik balik larangan berkenaan lima minggu kemudian dan mendakwa pengedar dadah kembali semula ke jalanan.

Sementara itu, sekumpulan peguam semalam memfailkan petisyen di Mahkamah Agung bagi menghentikan kempen berkenaan yang didakwa melanggar undang-undang.

Menurut petisyen itu, kempen berkenaan memberi lesen kepada polis membunuh suspek penagih dan pengedar dadah tanpa bukti kukuh.

Kumpulan Bantuan Perundangan Percuma (FLAG) yang memfailkan petisyen itu juga mendesak campur tangan perundangan terhadap ribuan kes pembunuhan yang dilakukan polis.

“Perang dadah yang dilancarkan kerajaan ini tidak akan menghentikan aktiviti pengedaran dadah, jenayah dan rasuah.

“Ia hanya menyebabkan pembunuhan ramai mangsa terutama orang miskin,” kata pengerusi FLAG, Jose Manuel Diokno.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 4:59 AM