TIMBALAN Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan (kanan) menunjukkan resit rasmi zakat fitrah 2016 yang ditetapkan dengan  kadar bayaran  sebanyak RM7 berdasarkan harga beras selain mendapat perkenan  Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selepas sidang media di Pejabat Saham Wakaf MUIP. FOTO Khairulmizan Yahya

Asrol Awang

Kuantan: Bayaran zakat fitrah di Pahang tahun ini kekal RM7 iaitu kadar sama sejak tiga tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, ia ditetapkan berdasarkan harga beras dan mendapat perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

"Bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah tahun ini, seramai 968 amil ditauliahkan untuk melaksanakan tugas membuat kutipan di seluruh negeri

"Umat Islam di negeri ini hendaklah mengeluarkan zakat fitrah kepada amil diberi tauliah oleh MUIP di tempat masing-masing bermula awal Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Aidilfitri," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, umat Islam yang enggan membayar zakat fitrah adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 40 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

"Kepada individu yang didapati melakukan kesalahan memungut fitrah tanpa kebenaran MUIP boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 7:59 PM