FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Asrol Awang


MAJLIS Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang mengaku sebagai amil dalam urusan pembayaran zakat fitrah.

Setiausahanya, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, ini kerana pada Ramadan ini, pihaknya memutuskan tiada khidmat amil bagi menguruskan kutipan berkenaan, sebaliknya pembayaran dibuat secara dalam talian 100 peratus.

Katanya, sekiranya ada individu yang mendakwa mendapat kebenaran daripada MUIP, umat Islam di negeri ini diminta melaporkannya kepada majlis.

"Setakat ini, memang kami belum menerima laporan bahawa ada individu yang mendakwa sebagai amil dan melakukan kutipan zakat fitrah, tetapi jika ada maklumat, sebaiknya segera melaporkan kepada MUIP untuk tindakan selanjutnya.

"Sesiapa yang didapati memungut zakat fitrah tanpa dia diberi kuasa atau dilantik oleh MUIP adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada Ramadan ini, Ahmad Hairi berkata, MUIP menetapkan kaedah bayaran pada tahun ini adalah secara atas talian melalui laman sesawang ezakat.muip.gov.my.

Setakat ini, katanya, seramai 232,798 umat Islam sudah menunaikan zakat fitrah secara dalam talian di Pahang yang berjumlah RM1,629,586 sepanjang tempoh 13 hari Ramadan.

"Kutipan zakat fitrah tertinggi daripada jumlah itu adalah melalui laman sesawang: ezakat.muip.gov.my sebanyak RM1,408,575 membabitkan 201,225 individu.

"Bayaran melalui aplikasi PahangGo pula RM185,192 membabitkan 26,456 individu, diikuti SnapNPay RM21,679 (3,097 individu) dan sistem pesanan ringkas (SMS) Fitrah15888 MUIP RM14,140 (2,020 individu pembayar)," katanya.

Katanya, jumlah kutipan zakat fitrah dijangka meningkat setiap hari berikutan pembayaran boleh dilakukan secara dalam talian dan SMS.

"Kebiasaannya peningkatan bayaran zakat fitrah akan meningkat sebaik memasuki dua minggu terakhir Ramadan. Kadar zakat fitrah ditetapkan di Pahang pada tahun ini ialah RM7," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 11:46 AM