UMAT Islam di Terengganu supaya berwaspada dan hanya membayar zakat melalui saluran ditetapkan MAIDAM atau melalui amil yang bertauliah. FOTO Arkib NSTP
UMAT Islam di Terengganu supaya berwaspada dan hanya membayar zakat melalui saluran ditetapkan MAIDAM atau melalui amil yang bertauliah. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

UMAT Islam yang sudah membayar zakat fitrah kepada individu atau pertubuhan tidak bertauliah perlu membuat pembayaran semula kerana ia tidak sah.

Itu penjelasan diberikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda susulan tindakan individu daripada pertubuhan tertentu mengutip zakat fitrah dan harta daripada umat Islam sejak awal Ramadan lalu.

Menurutnya, pihaknya ada menerima laporan berhubung kegiatan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Bagi individu atau pertubuhan yang membuat kutipan zakat fitrah dan harta tanpa tauliah boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Osman berkata, berdasarkan Seksyen 20 (b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, mereka yang enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah melalui amil yang dilantik boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

"Jabatan Mufti negeri melalui program bicara mufti mengeluarkan pandangan hukum mengeluarkan zakat kepada amil bertauliah adalah wajib.

"Institusi, pertubuhan atau individu yang bukan dilantik sebagai amil, tetapi menjalankan kerja mengutip, menerima dan mengagihkan zakat adalah berdosa kerana ia melanggar arahan pemerintah," katanya.

Sehubungan itu, Osman menyeru umat Islam supaya berwaspada dan hanya membayar zakat melalui saluran ditetapkan MAIDAM atau melalui amil yang bertauliah.

"Umat Islam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan mengutip zakat oleh individu tidak bertauliah diminta melaporkan kepada MAIDAM, " katanya.

Katanya, selain bayaran zakat secara dalam talian, MAIDAM turut melantik 1,089 amil bertauliah mengikut mukim masjid untuk memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab itu.

"Umat Islam yang menggunakan khidmat amil bertauliah hendaklah mendapatkan resit rasmi dikeluarkan MAIDAM, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 3:55 PM