Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Polis menahan dua lelaki di Batu Caves dan Bandar Baru Permas, Johor Bahru, berhubung kes ugutan bom penerbangan Firefly.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata kedua-dua suspek masing-masing berusia 40-an akan ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, seorang suspek ditahan di Batu Caves 11 malam tadi manakala seorang lagi ditahan jam 8 pagi tadi di Johor Bahru.

Dalam kejadian semalam, pesawat milik syarikat penerbangan Firefly terpaksa membuat pendaratan cemas di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) selepas panggilan ancaman bom diterima.

Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang bahan letupan ditemui dalam pesawat yang membawa 30 penumpang dan empat anak kapal itu.

Berita berkaitan:

Ancaman bom dalam pesawat [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 6:50 PM