ONG dan Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi Izra Azliana Mohd Izzuddin pada pelancaran kempen Semua Orang Dapat Hadiah, baru-baru ini.
ONG dan Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi Izra Azliana Mohd Izzuddin pada pelancaran kempen Semua Orang Dapat Hadiah, baru-baru ini.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Sepanjang 11 tahun pembabitan sebagai syarikat penerbangan premium jarak dekat, Firefly terus mengukuhkan kedudukannya melalui perkembangan laluan, pertambahan pesawat, peluang pekerjaan dan kecekapan servis.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ignatius Ong berkata, tahun ini Firefly menyambut ulang tahun yang ke-11 dan syarikat penerbangan itu berkembang pesat selari dengan perkhidmatannya yang diiktiraf menerusi anugerah diterima.

“Ia adalah sambutan ulang tahun kami dan saya berbangga sebagai CEO Firefly yang mana syarikat ini mencapai satu tahap baru dalam sejarah perkembangan syarikat.

“Bulan ini menandakan kami melengkapkan 11 tahun Firefly ditubuhkan dan ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi sokongan serta menjadi sebahagian daripada syarikat ini,” katanya.

Firefly menawarkan pelbagai destinasi menarik seperti Pulau Pinang, Langkawi, Johor Bahru, Kuantan, Terengganu, Singapura, Phuket (Thailand) dan Banda Aceh (Indonesia).

Selain itu, syarikat penerbangan itu memastikan penerbangan sampai ke destinasi tepat pada masanya dengan On-Time Performance melebihi kadar 90 peratus.

Ong berkata, sebagai sebahagian daripada sambutan 11 tahun, Firefly memberikan baucar penerbangan bernilai RM110 bagi penumpang dengan kekerapan penerbangan (frequent flyers) yang ke-111.

“Banyak lagi tawaran menarik akan disediakan jadi jangan lepaskan peluang terbang bersama Firefly.

“Teruskan kempen FY is For You kerana kami akan memberikan hadiah serta barangan eksklusif bagi pelanggan baru FYTV di samping menghargai 11 syarikat seperti media, pelanggan korporat dan ejen pelancongan,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya gembira banyak pihak menunjukkan sokongan serta keyakinan terhadap syarikat penerbangan jarak dekat itu.

“Permintaan, cabaran dan maklum balas orang ramai meletakkan kami ke hadapan dan terus berkembang dengan baik.

“Apa sahaja yang kami lakukan di Firefly adalah untuk anda,” katanya.

Firefly menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan seperti anugerah kategori Pengangkutan, Pengembaraan dan Pelancongan pada 2014 dan pada 2012, meraih Jenama Paling Meyakinkan oleh Putra Brand Awards serta diberikan status Superbrand pada 2011 dan 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 9:44 AM