MOHD Zani. FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid
MOHD Zani. FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid
Fardy Bungga


Subang: Pesawat milik syarikat penerbangan Firefly terkandas di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) selepas dipercayai menerima ancaman bom, malam tadi.

Pesawat berkenaan difahamkan sudah berlepas menuju ke Singapura tetapi membuat pendaratan cemas selepas menerima ancaman bom.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pesawat berkenaan berlepas dari LTSAAS pada 7.40 malam tadi.

Bagaimanapun katanya, pada kira-kira 8 malam, pihak pengurusan syarikat penerbangan menerima panggilan daripada lelaki yang tidak dikenali mendakwa pesawat berkenaan membawa bahan letupan.

"Pihak syarikat terus menghubungi menara kawalan dan pesawat berkenaan diarahkan supaya membuat pendaratan cemas ke LTSAAS.

"Sepasukan unit pemusnah bom PDRM dipanggil ke tempat kejadian namun pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang bahan letupan ditemui,"katanya.

Menurutnya, pesawat yang membawa 30 penumpang dan empat anak kapal itu selamat dan mereka sudah diterbangkan ke destinasi menggunakan pesawat lain.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan tetapi masih belum menerima sebarang maklumat lanjut berhubung perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 12:20 AM