EZANY
EZANY
Ramlah Zainal


Setiap ujian yang datang dalam hidup kita pasti ada hikmah di sebaliknya. Bagi pelakon Ezany Nizariff, 43, keruntuhan rumah tangga dengan Lizda Nuryanti Abidin, 34, banyak mengajarnya erti sabar dan reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Alhamdulillah, saya melihat kemelut rumah tangga saya daripada sudut positif. Kekosongan hidup selama ini juga terisi apabila mendalami agama sejak tahun lalu dengan mengikuti aktiviti jemaah tabligh termasuk tidur di masjid selama seminggu di Janda Baik dan Pulau Perhentian (November tahun lalu) serta Perhimpunan Ulama Sedunia di Tonggi, Bangladesh selama seminggu Januari lalu,” katanya.

Ezany berkata, dia juga menemui ketenangan yang dicari dalam hidupnya selama ini.

“Berbanding dulu, saya kini tidak lagi meninggalkan solat lima waktu dan banyak menghadiri ceramah agama.

“Apa yang berlaku juga banyak mengajar saya erti sabar kerana apa yang kita miliki di dunia ini hanya pinjaman dan segalanya adalah milik Allah SWT.

“Apabila berdepan dengan ujian dalam rumah tangga, saya banyak merujuk pejabat agama dan ustaz daripada mendengar cakap-cakap orang sekeliling yang belum tentu kebenarannya,” katanya.

Ezany berharap masalah rumah tangganya dapat diselesaikan secara baik kerana ia sudah berlarutan sejak 2014.

“Saya berharap Lizda akan ketepikan egonya itu kerana anak kami tidak bersalah. Kami tetap ibu dan bapa yang sah di sisi agama walaupun sudah bercerai.

“Kalau nak diikutkan perasaan ego dan dendam itu, masalah tidak akan dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Terbitkan program agama

Walaupun sudah berhijrah, Ezany tetap meminati bidang seni yang sudah sebati dengan dirinya sejak dulu.

“Saya masih meminati bidang lakonan tetapi watak yang ditawarkan mestilah tidak melanggar batas yang ditetapkan Islam.

“Saya akan menolak jika ada tawaran berlakon yang membabitkan babak bersentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram selepas ini,” katanya.

Justeru, kata Ezany yang kini tampil dengan imej berjanggut, dia terpanggil untuk menerbitkan program bercorak keagamaan sesuai perubahan dirinya sekarang.

“Saya akan menerbitkan tiga judul program bercorak keagamaan untuk TV Al Hijrah. Jika saya terbitkan drama pun, saya pastikan ia tidak melanggar syariat.

“Saya juga baru menghantar cadangan kepada stesen televisyen terbabit dan semoga ada rezeki saya untuk menerbitkan program itu,” katanya.

Perkembangan bisnes pula, kata Ezany, dia sudah menukar kepada jenama baru iaitu Emedina.

“Saya akan melancarkan produk baru tetapi bukan berasaskan makanan. Saya juga akan cuba untuk memasuki pasaran hipermarket di Dubai nanti.

“Selain itu, saya juga membuka kilang percetakan di Serdang,” katanya.

Di samping itu, Ezany turut menganjurkan pakej umrah dengan ejen pelancongan As Sham Travel tahun ini.

“Insya-Allah, saya akan berangkat mengerjakan umrah ke Tanah Suci Makkah bersama ibu pada Jun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 10:34 AM