Ezany enggan buka mulut. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Ezany enggan buka mulut. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Georgie Joseph


PELAKON Ezany Nizariff enggan mengulas lanjut mengenai status terbarunya sama ada sudah berkahwin semula atau tidak selepas ditemui baru-baru ini bersama seorang wanita.

Ezany, 45, tidak mahu mengiyakan atau menidakkan sama ada wanita berkenaan adalah teman hidup barunya sebaliknya meminta diberikan ruang untuk tampil menjelaskannya kelak.

“Tunggu hingga pertengahan tahun ini. Saya akan kongsikan juga siapa wanita itu.

“Saya bukan mahu berahsia namun berikan saya waktu untuk membuat penjelasan,” katanya berteka-teki mengenai statusnya.

Memperkenalkan wanita berkenaan sebagai Min, Ezany bagaimanapun berkeras tidak mahu membuka mulut dan mengulas mengenai tiga jarinya yang masih berinai.

“Sekarang bukan masa yang tepat untuk saya bercerita. Nantilah saya akan kongsi juga,” katanya.

Terdahulu Ezany atau nama sebenarnya Mohd Zani @ Mohd Zohri Mohd Nizariff pernah mendirikan rumah tangga dengan Lizda Nuryanti, 35, pada 1 Julai 2007 dan dikurniakan dua cahaya mata, Rayyan Harraz, 7 dan Hayden Harraz, 5.

Bagaimanapun perkahwinan pelakon itu menarik perhatian apabila pada 17 Julai 2014, Ezany membuat laporan di Balai Polis Kinrara, Serdang selepas mendakwa Lizda Nuryanti dilarikan seorang lelaki.

Pada 11 April 2016, Mahkamah Rendah Syariah Petaling mensabitkan Lizda Nuryanti atas tuduhan nusyuz (ingkar kepada suami) selepas membenarkan permohonan pelakon itu di bawah Seksyen 61 (3)(b)(1)(i) Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 5:46 PM