Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Isteri pelakon terkenal, Ezany Nizariff disabitkan nusyuz (derhaka atau perintah kembali taat) oleh Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam.

Hakim Syarie Mohd Azlan Mohd Azhar memutuskan demikian terhadap Lizda Nuryanti Abidin, 34, selepas meluluskan permohonan nusyuz yang dikemukakan Ezany atau nama sebenarnya Mohd Zani @ Mohd Zohri Mohd Nizariff, 43, (plaintif).

“Mahkamah mensabitkan Lizda Nuryanti (defendan) sebagai seorang isteri yang nusyuz kerana sudah keluar rumah tanpa izin suami pada 17 Julai 2014 selain defendan mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Oleh itu, defendan tiada hak terhadap nafkah dari tarikh sabitan sehingga dia kembali taat kepada plaintif,” kata Mohd Azlan dalam keputusannya.

Terdahulu, pada awal prosiding, Mohd Azlan memerintahkan Ezany mengangkat sumpah Istizhar untuk membuktikan keterangan plaintif di mahkamah adalah benar berikutan ketidakhadiran defendan.

“Defendan tidak pernah hadir pada mana-mana prosiding kes ini dan sengaja tidak memberi kerjasama kepada mahkamah walaupun saman telah diserahkan kepadanya,” jelas Mohd Azlan.

Ezany yang diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hasan mengemukakan permohonan nusyuz terhadap isterinya pada 22 Julai 2014 mengikut Seksyen 60(1), Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Sementara itu, ketika ditemui media di luar mahkamah, Ezany yang juga seorang usahawan bersyukur dan menerima baik keputusan mahkamah.

“Saya anggap keputusan ini satu kemenangan buat saya. Kalau ada salah saya, kenapa dia tidak datang ke mahkamah dan bawa bukti biar mahkamah tentukan.

“Tapi, sejak kes ini mula dibicarakan pada tahun 2015, dia tidak pernah hadir untuk membela diri,” katanya.

Pasangan itu yang bernikah pada 1 Julai 2007 dikurniakan dua anak lelaki, Rayyan Harraz, 5, dan Hayden Harraz, 3 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 9:47 AM
LIZDA Nuryanti.
LIZDA Nuryanti.