RAHIMAH ketika menjayakan konsert baru-baru ini.
RAHIMAH ketika menjayakan konsert baru-baru ini.
Sudirman Mohd Tahir

Pada usia 62 tahun, bintang veteran kelahiran Singapura, Rahimah Rahim masih kelihatan bertenaga dan awet muda.

Menurut penyanyi lagu Gadis dan Bunga ini, dia tidak mempunyai rahsia tertentu melainkan amalan gaya hidup sihat serta menikmati kehidupan.

“Saya memang sentiasa nampak gembira, sebab inilah diri saya sebenar. Saya hanya mahu menikmati kehidupan. Soal pemakanan pula, saya tidak ada pantang larang cuma kurangkan makan nasi saja.

“Ini sebab saya kelihatan awet muda. Jauh sekali nak menggunakan rawatan kecantikan seperti suntikan botox. Paling penting, saya bersenam bagi mengekalkan stamina dan kesihatan tubuh badan,” katanya.

Diusik adakah dia kini kembali hidup berpasangan membuatkan dirinya kelihatan gembira, Rahimah tetap dengan pendirian untuk tidak berkongsi.

“Macam yang dikatakan tadi, saya hanya ‘enjoy’ dengan kehidupan. Saya tak nak jawab solo atau tidak. Bagi saya, soal kehidupan peribadi tetap menjadi privasi. Saya hanya mahu memberi fokus apa yang ada.

“Saya bukan mahu berahsia tetapi ini prinsip diri sejak dahulu. Soalan sebegini bukan sekali dua ditanya, malah sudah bertahun-tahun lamanya. Saya faham tugas wartawan tetapi ini cara saya. Susah atau tidak kehidupan dilalui, saya simpan sendiri,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan terbarunya, Rahimah baru sahaja menjayakan konsert solo pada 11 November lalu.

Istimewanya, konsert Hidupku Seniku itu adalah konsert pertama Rahimah selepas empat dekad terbabit dalam bidang nyanyian.

“Alhamdulillah, konsert ini ‘full house’. Lebih 1,000 penonton hadir bukan saja dari Singapura tetapi juga Malaysia. Maklum balas diterima membuatkan saya terharu kerana semuanya berpuas hati.

“Saya juga bersyukur apabila diberi kesihatan yang baik menjayakan konsert ini. Sejujurnya saya tak tahu dari mana datangnya tenaga ini. Sepanjang dua jam persembahan saya menyanyikan 24 lagu daripada album terdahulu,” katanya.

Pada konsert itu, Rahimah turut menyanyikan single terbarunya berjudul Gelas Gelas Cinta hasil sentuhan komposer Fauzi Marzuki dan lirik oleh Siso.

Di sebalik penghasilan lagu itu, Rahimah berkongsi bahagian rap sepatutnya dinyanyikan oleh bekas peserta program Kilauan Emas 4 (KE4), Megat Nordin namun beliau meninggal dunia pada 28 Oktober lalu.

“Saya menganggap ini ketentuan Allah SWT. Hasrat berkolaborasi bersama Allahyarham tidak kesampaian. Saya sudah lama ingin bekerjasama dengan arwah sejak dia terbabit dalam program KE4.

“Saya minta seorang rakan menghubungi arwah. Apabila saya menyatakan keinginan berkolaborasi, dia terus bersetuju. Arwah sempat merakamkan suaranya pada bahagian rap dalam loghat Kelantan meski ketika itu tidak sihat.

“Namun, bagi menghormati pemergian arwah saya tidak menerbitkan lagu ini yang menggunakan suaranya. Saya merakamkan semula bahagian rap mengikut cara sendiri. Insya-Allah, versi yang ada suara arwah saya terbitkan nanti,” katanya yang kali terakhir menerbitkan lagu pada 2003.

Rahimah berkata, dia masih menyanyi bukan kerana ingin bersaing dengan penyanyi sedia ada, sebaliknya kecintaan terhadap seni yang ada dalam diri.

“Saya masih aktif menyanyi, jadi tidak ada sebab untuk bersara. Seperkara lagi, saya memang cinta dan sayangkan bidang seni.

“Menerusi single ini, saya ingin peminat dengar genre lagu ini. Biar mereka menilai sendiri sama ada ia sesuai dengan saya atau tidak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 10:32 AM