Satvender diiringi anggota polis selepas didakwa membunuh isteri dan anaknya. FOTO Abdullah Yusof
Satvender diiringi anggota polis selepas didakwa membunuh isteri dan anaknya. FOTO Abdullah Yusof
Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur : Pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, hari ini, atas dua tuduhan membunuh isteri dan bayi perempuannya yang berusia tujuh bulan di Taman Rawang Perdana 2, Rawang, dua minggu lalu.

Tertuduh, Satvender Singh, 30, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iriane Isabelo.

Dalam prosiding itu, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh yang memakai baju kemeja-T berwarna biru yang kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa membunuh D Kamaljit, 34, dan bayinya, Ishilyn Kaur Sandhu, di rumah itu antara 3.55 pagi hingga 4.15 pagi pada 14 April lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 30 Mei ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 4:05 PM