Sarah Zulkifli

TINDAKAN tiga beranak yang mencederakan jiran mereka menggunakan besi, topi keledar dan parang, di hadapan sebuah pangsapuri di Batu Caves, bulan lalu, mengundang padah apabila mereka dipenjara oleh Mahkamah Majistret Selayang, hari ini.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhkan hukuman lima bulan terhadap Rosliza Md Isa dan penjara empat bulan masing-masing terhadap ayahnya, Md Isa Ismail, 63, dan adik lelakinya, Ros Iman, 26, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapi mereka.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan bermula dari tarikh tangkap, pada 12 September lalu.

Mengikut pertuduhan, tiga beranak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap S Viknes Kumar, 23, menggunakan besi, topi keledar dan parang di hadapan Blok D, Prima Selayang, PS1, Jalan Rawang, Batu Caves, jam 9. 30 malam, 6 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Iriane Isabelo, Rosliza yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut didenda RM2,000 atas satu lagi pertuduhan iaitu melakukan khianat.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara sebulan, jika dia gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan merosakkan cermin hadapan dan sisi kereta milik J Darshana, 23, teman wanita Viknes Kumar pada tempat, tarikh serta masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, wanita berkenaan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Persona telah melalui satu lorong di belakang blok D pangsapuri itu dan berselisih dengan motosikal yang ditunggangi oleh Rosliza.

Dalam masa sama, Rosliza telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mangsa yang kemudian mangsa menegur Rosliza sebelum mangsa yang memandu keluar kemudian terlanggar ekzos motosikal milik Rosliza.

Wanita itu kemudian bertindak menarik baju mangsa sambil meminta ganti rugi kerosakan dan mangsa yang ketakutan telah melarikan diri sebelum Rosliza bertindak memecahkan cermin kereta itu.

Ketika mangsa melarikan diri, Ros Iman pula datang dan mencederakan mangsa dengan sebatang besi sebelum ayahnya bertindak mencederakannya pula dengan sebilah parang dan laporan polis dibuat berikutan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 4:02 PM