Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur : Bekas vokalis kumpulan Hyper Act, Kecik, diperintah Mahkamah Majistret Selayang hari ini, membayar kompaun RM200 kepada teman wanitanya atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap wanita itu, dua minggu lalu.

Majistret Iriane Isabelo membuat keputusan itu selepas kedua-dua pihak bersetuju kes diselesaikan secara bersama mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah ketika kes dibicarakan.

Terdahulu, Kecik atau nama sebenarnya Muhammad Fauzi Kamaruddin, 23, mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dan sejurus membuat pengakuan itu, teman wanitanya, Farah Nurizzati Salleh yang turut hadir di galeri awam bangun menyatakan persetujuan kes itu diselesaikan dengan bayaran kompaun RM200.

Kecik yang memakai topeng muka, membayar kompaun dan mahkamah melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap Farah, 25, pada 7.13 malam, 12 Mac lalu, di Batu 6 3/4, Kampung Changkat Gombak, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 5:41 PM