Oleh Mohd Rizal Abdullah

Kuala Lumpur: Lapan penumpang bas cedera ringan dan seorang penunggang motosikal patah kaki dalam kemalangan membabitkan bas persiaran, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan dua buah motosikal di Batu 10, Jalan Batang Kali menghala ke genting, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 1.45 petang itu, kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu.

Komander Operasi Balai Bomba Kuala Kubu Bharu, Shamsol Majidy Hassan berkata, 16 penumpang bas yang lain dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pemandu dan penumpang kereta pacuan empat roda termasuk seorang lagi penunggang motosikal juga tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila pemandu bas terbabit hilang kawalan lalu merempuh pacuan empat roda itu yang berada di hadapan.

Dua penunggang motosikal yang berada di belakang bas terbabit tidak dapat mengelak lalu merempuh bahagian belakang bas terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 4:09 PM