Kemalangan empat kenderaan yang menyebabkan pemandu bas maut di Kampung Jimah Baru, di sini, pagi tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Kemalangan empat kenderaan yang menyebabkan pemandu bas maut di Kampung Jimah Baru, di sini, pagi tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Ahmad Hasbi

Seremban: Seorang pemandu bas maut tersepit sejurus kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kampung Jimah, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi tadi, mangsa, G Erudayasamy, 56, ditemui tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba,

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Muhammed Gadaffi Abdul Manaf berkata, lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 dibantu Unit Bermotor Bomba (RIM) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 8.40 pagi.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kami mendapati berlaku kemalangan membabit empat kenderaan iaitu sebuah bas, lori tangki, kereta pacuan empat roda dan motosikal.

"Pihak bomba mengeluarkan seorang pemandu bas yang didapati tersepit di bahagian pemandu sebelum disahkan meninggal dunia," katanya,

Menurut Muhammed Gadaffi, pihak bomba sempat memberikan rawatan awal kepada mangsa, namun pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis.

"Manakala pemandu lori dan kereta pacuan empat roda yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital oleh orang awam. Seorang lagi penunggang motosikal hanya mengalami cedera ringan dan dirawat pihak ambulans," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 3:12 PM