Shamsul Munir Safini


PENUNGGANG motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di persimpangan empat lampu isyarat Setia Triangle di Bayan Lepas, petang hari ini.

Dalam kejadian itu, penunggang lelaki terbabit maut dirempuh sebuah bas yang dipercayai datang dari arah Persiaran Kelicap sebelum melalui simpang itu.

Difahamkan, bas dipandu seorang lelaki gagal dikawal sebelum merempuh sebuah kereta dan mangsa yang menunggang motosikal.

Sumber berkata, bas berkenaan juga kemudiannya merempuh pagar dan sebuah rumah yang terletak bersebelahan simpang empat itu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A Anbalagan berkata, penunggang motosikal berusia lingkungan 20-an itu maut.

Menurutnya, dua lagi mangsa iaitu penumpang dan pemandu kereta turut cedera dalam kejadian itu sebelum dihantar ke hospital.

Katanya, pemandu bas terbabit pula mengalami kecederaan ringan dan kini ditahan untuk membantu siasatan.

Anbalagan berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 9:23 PM
Keadaan mangsa dan bas selepas terbabit kemalangan di persimpangan empat lampu isyarat Setia Triangle di Bayan Lepas, petang hari ini dan (gambar kanan) keadaan motosikal yang dirempuh. Foto Ihsan Pembaca
Keadaan mangsa dan bas selepas terbabit kemalangan di persimpangan empat lampu isyarat Setia Triangle di Bayan Lepas, petang hari ini dan (gambar kanan) keadaan motosikal yang dirempuh. Foto Ihsan Pembaca