KERETA bertembung dengan lori sebelum diseret 100 mete. Foto Ahmad Othman
KERETA bertembung dengan lori sebelum diseret 100 mete. Foto Ahmad Othman
Ahmad Othman

Kota Tinggi: Suami isteri maut selepas kereta dinaiki bertembung lori membawa batu di Jalan Pintasan Johor Bahru-Mersing di sini, 9 pagi tadi.

Jamal Ismail, 44, dan isteri, Nor Azlizah Mohd Sofian Lew, 31, maut di tempat kejadian apabila kereta dinaiki turut diseret kira-kira 100 meter selepas rempuhan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Ahmad Amat berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 9.11 pagi.

"Kami bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera, sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti dengan kekuatan 11 anggota.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang datang dari arah Kota Tinggi menghala ke Johor Bahru itu bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan di simpang lampu isyarat.

"Akibat rempuhan, kereta berkenaan diseret kira-kira 100 meter sebelum masuk ke dalam tepi parit jalan menyebabkan pemandu dan penumpang meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemandu lori yang mengalami cedera ringan dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 2:03 PM