KEADAAN dua kenderaan terbabit nahas maut yang mengorbankan lima orang kelmarin.
KEADAAN dua kenderaan terbabit nahas maut yang mengorbankan lima orang kelmarin.
ANGGOTA bomba menjalankan kerja menyelamat yang membabitkan nahas dua kenderaan, semalam.
ANGGOTA bomba menjalankan kerja menyelamat yang membabitkan nahas dua kenderaan, semalam.

Kota Tinggi: Dalam tempoh tidak sampai 12 jam, Jalan Johor Bahru -Mersing di sini, menyaksikan sembilan orang terkorban dalam dua kemalangan berasingan, kelmarin dan semalam.

Dalam kejadian pertama pada jam 10.45 malam kelmarin, dua beradik antara lima yang maut selepas dua kereta bertembung di Kilometer 61.2 Jalan Johor Bahru-Mersing, berhampiran kubu peninggalan Perang Dunia Kedua, di sini.

Kejadian berlaku ketika dua beradik mak andam, Rosmah Muda, 28, Fatimah, 24 bersama adik mereka, Nor Syafikah dalam perjalanan dari Endau, Mersing ke Kota Tinggi menaiki Perodua Kenari untuk mendandan pengantin di Felda Air Tawar 3, hari ini.

Kereta dinaiki mereka bertembung dengan Proton Wira yang dinaiki tiga sahabat, Mohamad Shafie Pechek, 21, Mohamad Fayad Abdul Rahman, 21, dan Mohd Nizam Hassan, 29, yang dalam perjalanan pulang ke Gugusan FELDA Tenggaroh, Mersing selepas membeli alat ganti kereta di bandar Kota Tinggi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Deputi Superintenden Low Hang Seng berkata, pertembungan itu menyebabkan Rosmah yang memandu Perodua Kenari dan Fatimah yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut di tempat kejadian, manakala Nor Syafikah parah.

Katanya, pemandu Proton Wira yang juga seorang mekanik, Mohamad Shafie turut maut di tempat kejadian, manakala penumpang di hadapan, Mohamad Fayad meninggal dunia ketika dalam perjalanan di Hospital Kota Tinggi (HKT).

“Seorang lagi penumpang Proton Wira, Mohd Nizam yang duduk di belakang meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pada jam 5 pagi tadi (semalam),” katanya.

Dalam kejadian kedua pada jam 10.15 pagi semalam di Kilometer 46, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran Kampung Bukit Samsu, di sini, kira-kira 15 kilometer dari lokasi kejadian pertama, empat sekeluarga maut apabila Perodua Alza yang mereka naiki bertembung Proton Satria Neo.

Menurut Low, mereka yang terbunuh adalah Penolong Pengurus FELDA Bukit Easter, Ruhaizad Said, 48, yang juga pemandu Perodua Alza terbabit serta isterinya, Aliza Osman, 45, anak bongsu mereka Muhammad Zaki, 13 dan ibu Aliza, Hainee Jamil, 70.

Katanya, pemandu Proton Satria Neo yang dikenali sebagai Muhammar Hakimm Mas Bakri, 21, berasal dari Taman Teratai, Johor Bahru parah dan dihantar ke HKT untuk dirawat.

“Ruhaizad, Aliza serta Hainee meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Muhammad Zaki meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HKT.

“Laluan itu adalah jalan lurus yang mempunyai garisan berkembar dan ketika kejadian cuaca baik serta lalu lintas tidak sibuk,” katanya.

Menurutnya punca kedua-dua kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:30 AM