KEADAAN sebuah kereta dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Bagan Lallang, Butterworth, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN sebuah kereta dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Bagan Lallang, Butterworth, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini


ANGKARA menunggang motosikal melawan arus menyebabkan dua daripada tiga lelaki maut selepas jentera dinaiki bertembung sebuah kereta di Jalan Bagan Lallang, Butterworth, hari ini.

Dalam kejadian pada 3 pagi, mangsa dikenali sebagai Vinod, 24, bersama rakannya, R Tamillarasan, 22, yang membonceng maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Manakala, seorang lagi mangsa Y Logaraj, 21, yang juga pembonceng kedua hanya cedera di kaki.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kereta itu dinaiki dua wanita dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Permatang Pauh ke Jalan Bagan Lalang.

Menurutnya, tiga lelaki itu yang menaiki sebuah motosikal pula dalam perjalanan ke rumah mereka di Ampang Jajar, Permatang Pauh dari Taman Mesra Jaya.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki tiga lelaki itu dipercayai memasuki laluan kereta lalu bertembung.

“Akibat rempuhan itu, ketiga-tiga lelaki terbabit tercampak menyebabkan dua daripada mereka parah di kepala dan badan,” katanya.

Menurutnya, dua daripada lelaki berkenaan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi rakan mereka cedera di kaki.

Katanya, pemandu dan penumpang kereta juga mengalami kecederaan di dada dan badan kesan rempuhan.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan manakala mayat mangsa dihantar ke bilik mayat hospital sama untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 6:57 PM