FERDINAND
FERDINAND

Manila: Mangsa seksaan bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos semalam berikrar menghalang usaha anak diktator itu yang bertanding merebut jawatan naib presiden.

Beratus-ratus rakyat yang diseksa dan dipenjarakan ketika era pemerintahan Marcos selama dua dekad berjanji mengganggu kempen anak pemimpin itu, Ferdinand Marcos Jnr.

Kumpulan dikenali sebagai Kempen Menentang Kepulangan Marcos ke Malacanang (CARMMA) berkumpul di Manila sambil melaungkan slogan ‘Tiada lagi Marcos! Marcos diktator!’

“Kami akan menghantui kempennya dan membalas dendam kesalahan keluarga itu.

“Kami mahu menulis semula sejarah dan mengimbau semula pemerintahan bapanya yang zalim,” kata wakil CARMMA, Bonifacio Ilagan.

Kumpulan hak asasi manusia berkata, beribu-ribu rakyat negara itu diseksa, dibunuh dan dipenjarakan ketika pemerintahan kuku besi Marcos.

Kerajaan menganggarkan Marcos dan keluarganya juga mencuri lebih AS$10 bilion (RM42 bilion) harta negara.

CARMMA berkata, Ferdinand bukanlah anak yang tidak berdosa seperti didakwanya sendiri.

Tinjauan pendapat sebelum ini mendapati Ferdinand, 58, yang juga senator mendahului perlumbaan calon naib presiden menjelang pilihan raya pada 9 Mei ini.

Marcos bersama keluarganya melarikan diri ke Hawaii selepas rampasan kuasa disokong tentera pada 1986 sebelum meninggal dunia di sana, tiga tahun kemudian. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 10:13 AM