SETEM keluaran khas yang memaparkan potret Marcos. - Agensi
SETEM keluaran khas yang memaparkan potret Marcos. - Agensi
AFP

Manila: Bekas diktator Filipina, Ferdinand Marcos diperingati dengan satu setem keluaran khas yang memaparkan potret pemimpin itu, kata pegawai pejabat pos semalam.

Setem yang memaparkan wajah Marcos tersenyum dan tandatangannya dikeluarkan bagi memperingati ulang tahun kelahirannya yang ke-100 pada 11 September ini.

Jurucakap pejabat pos, Luis Carlos berkata, setem itu bukan bermotif politik dan ia sebahagian amalan biasa memperingati ulang tahun ke-100 setiap presiden negara itu.

“Kami hanya mengikut prosedur ditetapkan. Presiden yang menyambut ulang tahun ke-100 akan mendapat setem khas,” jelasnya.

Sepanjang pemerintahannya, Marcos mengamalkan pemerintahan kuku besi sebelum ditumbangkan oleh kebangkitan rakyat pada 1986.

Marcos yang melarikan diri ke luar negara juga didakwa menggelapkan berbilion dolar harta negara sehingga menyebabkan negara itu menanggung hutang yang tinggi.

Bagaimanapun, Presiden Rodrigo Duterte membenarkan mayat Marcos dibawa pulang ke Filipina sebelum dikebumikan di makam pahlawan pada November tahun lalu.

Tindakan Duterte itu mencetuskan kemarahan rakyat yang menuduh pemimpin itu cuba membersihkan nama keluarga Marcos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 11:06 AM