Manila: Kira-kira 2,000 penunjuk perasaan berhimpun di Manila semalam bagi membantah tindakan Presiden Rodrigo Duterte yang membenarkan bekas diktator, Ferdinand Marcos dikebumikan di makam kebangsaan.

Kumpulan penunjuk perasaan yang berhimpun dalam hujan lebat membantah rancangan untuk memindahkan mayat Marcos yang diawet di wilayah Ilocos Norte ke Makam Pahlawan Kebangsaan di Manila pada bulan depan.

“Kita bakal menjadi bahan ketawa di seluruh planet,” kata senator Risa Hontiveros yang hadir bersama tiga lagi anggota parlimen di perhimpunan itu.

Risa juga menggelar Marcos sebagai musuh ketat untuk semua wira di negara itu.

Keluarga Marcos menyimpan dan mengawet mayat pemimpin itu yang meninggal dunia ketika dalam buangan pada 1989, selepas ditumbangkan dalam kebangkitan rakyat tiga tahun sebelum itu.

Sejak itu, keluarga Marcos mendesak mendiang dikebumikan dengan penuh penghormatan di Makam Pahlawan Kebangsaan sama seperti pemimpin lain.

Marcos dipilih sebagai presiden pada 1965 dan mengisytiharkan undang-undang tentera pada 1972 bagi membolehkan dia memerintah sebagai diktator.

Sepanjang pemerintahannya, Marcos dan keluarganya dituduh menggelapkan berjuta harta negara dan kumpulan penentang ditindas dengan kejam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 11:58 AM