GAMBAR fail menunjukkan mayat Marcos yang diawetkan dan diletakkan dalam keranda kaca.  - AFP
GAMBAR fail menunjukkan mayat Marcos yang diawetkan dan diletakkan dalam keranda kaca. - AFP
Agensi

Manila: Bekas diktator Ferdinand Marcos dikebumikan di makam pahlawan dalam satu majlis yang di adakan secara rahsia di sini semalam.

Mahkamah Agung Filipina minggu lalu mengambil keputusan membenarkan pengebumian yang disokong Presiden Rodrigo Duterte itu, menolak bantahan sebahagian penduduk yang mendakwa Marcos tidak layak dikebumikan disitu kerana jenayah yang dilakukannya sepanjang pemerintahannya.

Keluarga mendiang dan kerajaan dilapor menerbangkan mayat diktator itu secara rahsia ke tanah perkuburan itu semalam dan mengebumikannya tanpa mempedulikan rayuan terhadap keputusan itu masih belum dibicarakan.

“Seperti perompak di malam hari, keluarga Marcos menyembunyikan maklumat mengenai pengebumian bekas presiden itu daripada rakyat Filipina.

“Ini bukan sesuatu yang baru bagi keluarga Marcos. Mereka menyembunyikan kekayaan, menyembunyikan pencabulan manusia dan kini menyembunyikan pengebumiannya, tanpa mempedulikan undang-undang,” kata Naib Presiden Leni Robredo yang dilantik secara berasingan daripada Duterte dan mewakili parti lain.

Balu Marcos, Imelda, 87, yang terkenal kerana kehidupan mewahnya sepanjang pemerintahan 20 tahun suaminya, menghadiri majlis itu bersama anak dan cucunya, menurut rakaman video yang dimuat naik keluarga itu di Facebook.

Tentera memberi penghormatan kepada Marcos di upacara itu dengan melepaskan 21 das tembakan.

Dua ribu polis antirusuhan dan tentera mengawal tanah perkuburan itu, menghalang wartawan dan orang ramai yang menyerbu kawasan berkenaan sebaik polis mengesahkan upacara itu beberapa minit sebelum ia bermula.

Marcos memerintah Filipina selama dua dekad sehingga dia dipaksa hidup dalam buangan di Hawaii, Amerika Syarikat, berikutan revolusi ‘kuasa rakyat.’

Dia, isteri dan kroni mereka dituduh menggelapkan wang milik negara berjumlah sehingga AS$10 bilion (RM44 bilion) selain melakukan pencabulan terhadap hak asasi manusia hingga menyebabkan ribuan terbunuh dan diseksa.

Semua presiden sebelum ini enggan membenarkan diktator itu dikebumikan di tanah perkuburan itu kerana jenayahnya, menyebabkan keluarganya mengawetkan mayatnya dalam keranda kaca di kediaman mereka di Ilocos Norte.

Bagaimanapun, Duterte yang menjadi presiden Jun lalu membenarkannya dengan alasan Marcos bekas presiden dan veteran Perang Dunia Kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:05 AM