AFP

Manila: Kerajaan Filipina semalam dikritik selepas didakwa cuba menutup sejarah hitam pemerintahan bekas diktator, mendiang Ferdinand Marcos.

Pengkritik berkata, beberapa suntingan dalam laman Facebook rasmi kerajaan adalah satu cubaan untuk menambah perkara positif sepanjang pemerintahan kuku besi berkenaan.

Antara perubahan yang mencetuskan kemarahan sepanjang minggu lalu adalah dakwaan Marcos menguatkuasakan undang-undang tentera pada 1972 bagi berdepan kumpulan pemisah Islam dan pemberontakan komunis.

Namun, pengkritik mendakwa pemimpin itu mengisytiharkan undang-undang tentera untuk terus berkuasa.

Marcos juga dituduh menghukum penjara penentangnya dan menggelapkan dana negara.

Laman rasmi itu juga mendakwa Marcos berundur pada 1986 bagi mengelak pertumpahan darah, tetapi ahli sejarah bersetuju dia terpaksa melarikan diri kerana berdepan kebangkitan rakyat.

“Ayat yang sepatutnya adalah ‘Marcos mencuri berbilion wang negara, menyeksa 34,000 orang dan membunuh 3,240 yang lain. Kerana gilakan kuasa, Marcos cuba menjadi diktator sepanjang hayat’,” komen seorang pengguna Facebook di laman berkenaan.

Selepas menerima kecaman hebat, laman Facebook ‘The Official Gazette of the Republic of the Philippines’ kemudian menyunting rekod itu dengan hanya memberitahu Marcos mengisytiharkan undang-undang darurat pada 1972 dan melarikan diri ke Amerika Syarikat pada 1986.

Marcos meninggal dunia di Hawaii pada 1989 dan mayatnya kini disimpan di dalam keranda kaca di bandar kelahirannya di selatan Filipina.

Isu Marcos kembali menjadi topik hangat di Filipina selepas Presiden Rodrigo Duterte membenarkan mayat diktator itu dikebumikan di Makam Pahlawan.

Tindakan itu menyebabkan, satu kumpulan penentang memfailkan bantahan di Mahkamah Agung bagi menghalang Marcos dikebumikan di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 6:26 AM