MENIKMATI keindahan matahari terbenam ketika dalam perjalanan balik.
MENIKMATI keindahan matahari terbenam ketika dalam perjalanan balik.
Roslina Japar

INDAH dan menakjubkan! Itu antara gambaran yang penulis boleh berikan terhadap pengembaraan ke pulau-pulau di Labuan Bajo, Indonesia, baru-baru ini.

Labuan Bajo adalah sebuah perkampungan nelayan di Kepulauan Flores, Nusa Tenggara Timur.

Penulis bersama rakan menaiki penerbangan dari Kota Kinabalu, Sabah sebelum transit di Kuala Lumpur dan Bali (Indonesia) sebelum ke Labuan Bajo.

Biarpun perlu menempuh perjalanan yang jauh dengan menaiki beberapa kapal terbang namun ia tidak merugikan dan berbaloi dilakukan apabila dihidangkan dengan keindahan pulau di Labuan Bajo.

Tarikan utama Labuan Bajo adalah suasana laut yang sangat mendamaikan dengan pemandangan laut berwarna biru laut selain memiliki pemandangan matahari terbenam yang sangat memukau.

Penulis memulakan perjalanan dari pelabuhan Labuan Bajo seawal jam 6 pagi dengan menaiki bot untuk melawat beberapa pulau indah berhampiran.

Destinasi pertama kami ialah Pulau Padar yang memakan masa kira-kira tiga jam perjalanan.

Menariknya, sepanjang perjalanan, kami dihidangkan dengan keindahan pulau-pulau kecil yang boleh digambarkan seperti melewati Taman Jurasik.

Pulau Padar adalah pulau ketiga terbesar di kawasan Taman Nasional Komodo yang termasuk dalam senarai Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Mempunyai bukit dengan rumput yang menghijau menjadikan Pulau Padar sangat unik. Ketibaan kami disambut seekor rusa yang berkeliaran di tepi pantai.

DIHIDANGKAN dengan panorama 360 darjah yang sangat memukau.
DIHIDANGKAN dengan panorama 360 darjah yang sangat memukau.

Terdahulu kami diberikan taklimat ringkas sebelum mendaki ke puncak tertinggi di Pulau Padar yang hanya memakan masa kira-kira 20 minit dengan menaiki tangga yang disediakan.

Di puncak tertinggi, kami dihidangkan dengan panorama 360 darjah yang sangat memukau. Kombinasi bukit berwarna hijau, pantai berwarna putih dan laut berwarna biru, membentuk landskap yang mengagumkan.

Selepas puas bergambar di puncak, kami turun sebelum meneruskan perjalanan lebih sejam perjalanan dari Pulau Padar ke Taman Nasional Komodo.

Taman negara ini didirikan untuk melindungi biawak Komodo dan habitatnya.

Sesetengah masyarakat setempat di kepulauan ini mempercayai bahawa Komodo ini antara haiwan purba yang masih wujud yang turut dipanggil Naga Komodo.

Komodo adalah biawak terbesar di bumi yang boleh yang mencapai panjang sehingga tiga meter dan memiliki lidah bercabang.

Kami sangat beruntung kerana tidak perlu bergerak terlalu jauh apabila menemui Komodo di kawasan berhampiran.

Ini adalah pengalaman pertama kami melihat biawak sebesar ini pada jarak yang dekat. Kami juga berpeluang untuk mengambil gambar bersama Komodo sebagai kenangan.

Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Pantai Merah yang memiliki pasir berwarna merah jambu.

Pantai Merah dikatakan antara tujuh pantai pasir merah jambu yang cantik di seluruh dunia.

GERAI kuih di pekan Labuan Bajo.
GERAI kuih di pekan Labuan Bajo.

Pasir kelihatan merah jambu di bawah matahari disebabkan organisma yang menghasilkan pigmen merah pada terumbu karang dan bercampur dengan pasir putih sehingga terbentuknya pasir yang berwarna merah jambu lembut.

Selepas melawat ketiga-tiga tempat ini, kami meneruskan perjalanan kembali ke pelabuhan Labuan Bajo sambil menikmati keindahan matahari terbenam di atas kapal.

Kami bersyukur kerana sepanjang perjalanan cuaca yang sangat baik dan pada masa sama gembira dapat berkenalan dengan rakan-rakan pelancong dari Indonesia yang peramah.

Keunikan landskap menawan yang terhasil dari letusan gunung berapi ini memberi pemandangan berbeza dari pulau-pulau lain yang pernah penulis lawati selama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 7:01 AM