GAMBAR dirakam pada  2 Julai 2014 ini menunjukkan Imelda mencium keranda kaca yang menempatkan mayat Marcos di bandar Batac di wilayah Ilocos Norte, Filipina. - AFP
GAMBAR dirakam pada 2 Julai 2014 ini menunjukkan Imelda mencium keranda kaca yang menempatkan mayat Marcos di bandar Batac di wilayah Ilocos Norte, Filipina. - AFP
AFP

Manila: Selepas puluhan tahun berjuang, keluarga bekas diktator Filipina, Ferdinand Marcos akhirnya dibenarkan mengebumikan mayat mendiang di Makam Pahlawan.

Keputusan kontroversi itu diumumkan Mahkamah Agung Filipina semalam yang dianggap pengkritik bakal membersihkan semua jenayah Marcos serta memecah-belahkan negara.

Jurucakap mahkamah, Theodore Te berkata, majoriti panel hakim meluluskan keputusan Presiden Rodrigo Duterte yang membenarkan Marcos disemadikan di Makam Pahlawan di Manila.

“Tiada undang-undang yang melarang pengebumian itu,” kata Te yang membaca ringkasan penghakiman dan disambut dengan sorakan oleh ratusan penyokong Marcos di luar mahkamah.

Marcos memerintah Filipina secara kuku besi dari 1965 hingga 1986 apabila satu kebangkitan rakyat yang disokong tentera menumbangkan pemerintahannya.

Selain dituduh memerintah dengan kejam, Marcos dan Isterinya, Imelda juga didakwa menggelapkan berbilion dolar harta negara sepanjang pemerintahannya.

Marcos dan Imelda melarikan diri ke Hawaii sebelum dia meninggal dunia pada 1989. Mayatnya tidak dikebumikan tetapi diawet dan diletakkan di dalam keranda kaca.

Pada 1993, mayat Marcos dibawa pulang ke Filipina dan sejak itu keluarganya berjuang untuk mengebumikan mayat mendiang di Makam Pahlawan.

Anak lelaki Marcos, Ferdinand Marcos jr berkata, keputusan mahkamah itu membolehkan rakyat Filipina melupakan kontroversi bekas pemimpin berkenaan.

“Kami percaya ini langkah penting untuk proses pemulihan politik Filipina. Ini juga permulaan bagi menyatu padukan negara,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa pengkritik menganggap keputusan mahkamah itu bakal membersihkan Marcos daripada jenayah sepanjang pemerintahannya.

“Ini juga secara tidak langsung menjadikan pengorbanan ribuan nyawa yang berani dan terkorban ketika menentang pemerintahan kejam Marcos sebagai sia-sia,” kata Senator Risa Hontiveros.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 11:54 AM