AKTIVIS menunjuk perasaan membantah tindakan mengebumikan Marcos  di tanah perkuburan pahlawan Jumaat lalu. - Agensi
AKTIVIS menunjuk perasaan membantah tindakan mengebumikan Marcos di tanah perkuburan pahlawan Jumaat lalu. - Agensi
AFP

Manila: Aktivis semalam melancarkan tindakan undang-undang untuk menggesa Mahkamah Agung mengarah menggali semula mayat bekas Presiden Ferdinand Marcos, tiga hari selepas ia dikebumikan di tanah perkuburan pahlawan di sini.

Mayat Marcos dikebumikan Jumaat lalu dalam satu majlis yang diadakan secara senyap dengan penghormatan tentera, kira-kira 30 tahun selepas kematiannya.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang menuduh Marcos terbabit dalam rasuah secara besar-besaran dan mencabul hak asasi manusia.

Anggota keluarga mangsanya semalam meminta mahkamah mengeluarkan perintah menggali semula mayat itu dengan alasan mereka tidak diberi masa secukupnya untuk merayu keputusan membenarkan pengebumian Marcos di tanah perkuburan itu.

“Bagaimana seorang penjarah dan pencabul hak asasi manusia diberi penghormatan untuk dikebumikan di tanah perkuburan yang disediakan untuk orang baik?” kata Edcel Lagman yang abangnya antara yang hilang ketika pemerintahan Marcos.

Mahkamah Agung meluluskan keputusan oleh Presiden Rodrigo Duterte untuk mengebumikan bekas diktator itu di tanah perkuburan berkenaan dua minggu lalu.

Keluarganya dan kerajaan bertindak pantas selepas keputusan berkenaan, menerbangkan mayatnya yang diawet 30 tahun lalu dari kediaman mereka di utara Filipina ke Manila sebelum mengebumikannya.

Satu lagi kumpulan mewakili mangsa undang-undang tenteranya meminta Mahkamah Agung mendakwa keluarga Marcos dan tentera atas tuduhan menghina mahkamah kerana menganjurkan pengebumian itu.

Aktivis juga berkata, mereka akan mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran Jumaat ini sebagai membantah pengebumian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 9:03 AM