Oleh Nor Faizah Mohamed

Ramai beranggapan melakukan kebaikan hanya dengan cara menghulurkan bantuan menerusi pemberian wang atau barangan kepada mereka yang memerlukan.

Ada sesetengahnya juga menggunakan platform 'tanggungjawab sosial korporat atau CSR' untuk menunjukkan kepada dunia mengenai sumbangan mereka kepada masyarakat.

Sudahnya, ia hanya gah di paparan media dan si penerima tidak mendapat manfaat sepenuhnya daripada 'sumbangan' terbabit.

Namun bagi kakitangan Hotel Hilton Kuala Lumpur, skop CSR itu dibawa lebih meluas dalam bentuk perkongsian ilmu dan pengalaman.

Seperti apa yang dilihat ketika Global Week of Service (GWS) baru-baru ini, majoriti sukarelawan dari hotel terbabit menyediakan beberapa aktiviti menarik bagi golongan memerlukan daripada Yayasan Aids Malaysia (MAF) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).

Aktiviti dimulakan dengan penerangan oleh Eksekutif Advokasi MAB, Muhammad Fairuz Abdullah yang menunjukkan cara efektif untuk membantu golongan buta dan mereka yang mengalami masalah penglihatan.

Jurucakap MAF, Andrew Tan seterusnya menguji kefahaman dan kesedaran sukarelawan juga peserta GWS mengenai jangkitan HIV serta AIDS.

Acara diteruskan dengan pertandingan memasak piza dan menghias kek cawan antara peserta MAF serta MAB yang menyaksikan pelbagai aksi lucu berlaku sepanjang pertandingan berlangsung.

Menariknya, peserta MAF perlu menutup mata ketika menyedikan piza dan menghias kek cawan sebagai salah satu cara untuk menghayati kepayahan dilalui mereka yang cacat penglihatan.

Peserta MAF kemudiannya muncul juara bagi pertandingan memasak piza manakala peserta MAB memenangi pertandingan menghias kek cawan.

Tanpa mengenepikan kepentingan dana bagi dua organisasi ini, Hilton tidak ketinggalan mendermakan RM14,000 kepada MAF dan MAB yang diperoleh daripada jualan biskut selama lima hari oleh sukarelawan GWS.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB Datuk Ganesan Supayah menerima dana sebanyak RM7,000 sementara RM7,000 lagi untuk MAF yang diterima Pengerusinya, Prof Dr Adeeba Kamarulzaman.

"Kami beruntung dapat terbabit dalam bidang ini yang membuka banyak peluang untuk kami menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di negara ini.

"Kami sedar pentingnya peranan badan korporat untuk membantu golongan yang memerlukan dan selain pemberian dana, pengisian rohani serta ilmu juga amat penting agar dapat memberi manfaat pada masa depan," ujar Pengurus Besar Hotel Hilton Kuala Lumpur Jamie Mead.

GWS adalah inisiatif sukarelawan terbesar dalam rangkaian perhotelan Hilton yang dilakukan di seluruh dunia bagi membantu mengukuhkan hubungan organisasi terbabit dengan komuniti setempat.

Sepanjang berlangsungnya minggu GWS, sukarelawan berpeluang berkongsi cerita dan aktiviti yang dilakukan menerusi laman sesawang www.hiltonworldwide.com/serve, yang boleh dilihat oleh sukarelawan GWS seluruh dunia.

Pada tahun lalu, sukarelawan GWS di lebih 900 cawangan berjaya melengkapkan lebih 2,400 projek kemasyarakatan di 700 bandar seluruh dunia.

Kebanyakan projek itu memberi tumpuan kepada jalinan hubungan antara sukarelawan dan komuniti, mengukuhkan persefahaman, meraikan variasi budaya dan mengamalkan gaya hidup lestari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:00 AM