Jeff ketika menyertai perlumbaan sebelum ini. FOTO ihsan pembaca
Jeff ketika menyertai perlumbaan sebelum ini. FOTO ihsan pembaca
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Semangat membara pelari ultra-marathon, Jeff Lau, 31, untuk mengumpul dana Tabung Paediatrik AIDS (PAF) menyebabkan dia sanggup menyertai perlumbaan laluan jalan kaki paling sukar di dunia di Bulatan Artik - Lapland Arctic Ultra Challenge.

Cabaran bakal dilalui Ikon Red Ribbon Youth Club Yayasan AIDS Malaysia (MAF) itu termasuk berjalan kaki sejauh 500 kilometer (km), berlumba merentasi hutan tundra, tasik beku dan sungai Lapland di Sweden dalam suhu bawah sifar selama 10 hari.

Bagi sesetengah pihak, perlumbaan yang akan bermula pada 6 Mac 2022 itu adalah percubaan yang sangat berisiko tetapi bagi Jeff beranggapan ia adalah semangatnya dan semuanya atas nama tujuan baik.

PAF adalah program untuk membantu kanak-kanak yang mempunyai atau terkesan HIV di sekolah, ia bertujuan memastikan mereka berkembang maju dan tidak ketinggalan menerusi peluang pendidikan serta sokongan sosial.

Lau berkata, dia mahu menggunakan kecergasan dimilikinya untuk membantu orang yang memerlukan bantuan.

"Saya bertanding untuk mengumpul dana ini kerana ia untuk kanak-kanak yang memerlukan.

"Saya mahu menyumbang kepada masyarakat. Pada masa sama ia adalah peluang memperolehi pencapaian peribadi saya.

"Saya sudah berlatih bersungguh-sungguh dan akan menggunakan pengalaman saya dalam perlumbaan sebelum ini untuk melengkapkan cabaran perlumbaan nanti," katanya dalam kenyataan MAF, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi MAF Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata dia kagum dengan semangat dan komitmen Lau bukan sahaja kepada sukan ekstrem malah pada masa sama membuat kebajikan.

Katanya, kepada mereka yang turut ingin menyokong usaha berkenaan, sumbangan boleh dibuat melalui laman web rasmi MAF-Lapland Arctic Ultra Challenge di arcticultra.maf.org.my.

Jeff Lau ketika menyertai perlumbaan sebelum ini. FOTO ihsan pembaca
Jeff Lau ketika menyertai perlumbaan sebelum ini. FOTO ihsan pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 8:25 PM