Oleh D J Dolasoh


Seramai 35 peserta dari Kolej Vokasional Besut (KVB), Terengganu serta Kolej Vokasional Pengkalan Chepa dan Kolej Vokasional Kuala Krai, Kelantan terpilih mengikuti kursus fotografi di Hutan Lipur Lata Belatan, Besut, baru-baru ini.

Program tiga hari dua malam itu dianjurkan Kelab Senifoto KVB dengan kerjasama Kedai Gambar Hr Pro System, dengan dibimbing dua jurulatih berpengalaman dalam bidang fotografi.

Pengarah KVB, Abdullah Zawawi Yahya berkata, mereka akan berazam mengadakan kursus seumpama itu sebanyak tiga siri iaitu asas, pertengahan dan lanjutan setiap tahun mulai tahun depan.

Menurutnya, ia akan diwajibkan untuk semua pelajar kursus pelancongan di KVB, selain mempelawa pelajar kolej vokasional lain yang berminat untuk menyertainya.

"Penubuhan Kelab Senifoto sejak 2001 lalu berjaya menaikkan imej kolej apabila pelbagai aktiviti di peringkat negeri dan kebangsaan dapat disertai.

"Kursus fotografi kali ini menyediakan slot ­seperti penjagaan kamera, sistem dedahan, cahaya, lampu ­ pancar, lensa dan aksesori yang diperlukan untuk menghasilkan gambar menarik.

"Peserta turut diajar secara praktikal kaedah mengambil gambar secara teknik B-stop pada waktu malam, gambar studio, gambar pelbagai imej dan gambar kelajuan perlahan khusus untuk merakam air terjun di lokasi kem serta kaedah mengedit gambar supaya nampak lebih hidup," katanya.

Peserta, Nur Shuhada Azmi, 17, dari KVB berkata, kursus disertainya itu penting kerana bukan saja diajar secara teori tetapi disusuli praktikal.

"Kami membawa semua peralatan kamera termasuk aksesori bagi menghasil-kan gambar dirakam lebih ­berkesan.

"Kursus fotografi banyak memberi pengetahuan baru mengenai bidang fotografi, sekali gus membantu memperbaiki kelemahan.

"Ia sangat menyeronokkan dan bagus untuk membantu kami menjadi jurugambar profesional pada masa depan," katanya.

Bagi Nik Muhammad Kasyidi Nik Mohd Yusoff, 17, pelajar Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, dia amat meminati bidang fotografi sejak di bangku sekolah rendah.

"Pendedahan ini banyak mengajar saya lebih mendalam cara menghasilkan gambar berkualiti. Saya amat teruja menyertainya, apatah lagi berminat dengan bidang ini sejak kecil.

"Apa yang menarik, saya dapat belajar pelbagai teknik dan ini sudah tentu mempertingkatkan lagi kemahiran sedia ada," katanya.

Siti Nur Soleha Mohd Rid­zuan, 16, pelajar Kursus Multimedia Kolej Vokasional Kuala Krai berkata, kursus fotografi itu mengukuhkan ilmu fotografi dipelajarinya daripada pensyarah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:00 AM