Amir Abd Hamid melaporkan dari Afghanistan


Kabul: Seramai 20 wanita Afghanistan miskin daif yang terpilih kumpulan pertama mengikuti kursus jahitan profesional tajaan Muslim Care Malaysia (MCM) di bandar ini pada November tahun lalu bakal menamatkan kursus dua bulan lagi.

Ketika ini pelajar yang ditempatkan di sebahagian ruangan kecil Madrasah Zainabul Ghazali di Esfanyar, di sini, sudah pun berupaya menghasilkan pakaian.

Mudir madrasah, Muhammad Mujtaba Lashkari, 37, berkata, pelajar itu masih gigih berusaha menajamkan kemahiran menjahit dengan penyeliaan seorang guru profesional.

"Peserta adalah antara pelajar wanita yang tak dapat meneruskan pengajian akademik lebih tinggi.

"Mereka yang belajar di sini dipilih daripada golongan keluarga yang sangat miskin namun mempunyai keinginan mengubah hidup," katanya.

Beliau berkata, projek rintis cetusan idea MCM dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) tempatan Ehsas Welfare And Social Services Organization itu kini bersedia untuk membuat pemilihan kemasukan pelajar baru.

Seorang daripada pelajar kursus jahitan, Aishah Hashmi Syed Maqsood, 24, berkata, dia gembira sudah berupaya menghasilkan pakaian.

"Saya melihat ilmu dan kemahiran ini untuk jana pendapatan dengan mengambil tempahan jahitan.

"Ibu bapa saya bekerja dengan pendapatan rendah. Jadi sebagai anak sulung daripada lima beradik, saya juga perlu pikul tanggungjawab menambah pendapatan keluarga," katanya.

SEBAHAGIAN pelajar wanita Afghanistan mengikuti kursus jahitan di Madrasah Zainabul Ghazali, Esfanyar, Kabul pada Kembara Ramadan Afghan atau Care4Afghan 2.0. FOTO Aswadi Alias
SEBAHAGIAN pelajar wanita Afghanistan mengikuti kursus jahitan di Madrasah Zainabul Ghazali, Esfanyar, Kabul pada Kembara Ramadan Afghan atau Care4Afghan 2.0. FOTO Aswadi Alias

Sementara itu, Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, setiap pelajar yang sudah tamat kursus jahitan selama enam bulan itu akan dibekalkan mesin jahit sebagai modal ikhtiar hidup.

"Kursus jahitan ini adalah antara program yang dibuat untuk memperkasakan wanita Afghanistan.

"Selain bantuan makanan yang biasa dibuat, terdapat keperluan melengkapkan kemahiran kepada golongan miskin Afghanistan untuk mereka berupaya mengubah hidup keluar dari garisan kemiskinan.

"Program ini dapat dijayakan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin," katanya.

Ketika ini MCM berada di Afghanistan untuk misi Care4Afghan 2.0, Kembara Ramadan Afghan dan turut berkolaborasi dengan Pertubuhan Kebajikan Al-Mannar Malaysia serta Pertubuhan Kebajikan Ilmu & Amal Selangor (Geng Talaqqi).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 12:00 PM