PESERTA yang mengikuti kursus asas servis motosikal anjuran MBFM Wilayah Raja Alias di Masjid Nurul Iman FELDA Palong Sembilan.
PESERTA yang mengikuti kursus asas servis motosikal anjuran MBFM Wilayah Raja Alias di Masjid Nurul Iman FELDA Palong Sembilan.
Abnor Hamiza. Abd Manap


Jempol: Fungsi masjid sebagai pusat ibadah diperluaskan apabila Masjid Nurul Iman, FELDA Palong Sembilan di sini, dijadikan lokasi kursus penyelenggaraan asas motosikal anjuran Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) Wilayah Raja Alias.

Kursus selama tiga hari bermula Selasa lalu dan berakhir semalam disertai seramai 20 belia sekitar FELDA Palong selain turut mendapat kerjasama GiatMARA Kuala Pilah.

Pengerusi MBFM FELDA Palong Sembilan Tauw Fek Maslam berkata, program dianjurkan itu mendapat kerjasama penuh pengurusan masjid berkenaan.

Katanya, sebelum memulakan program sepanjang tiga hari berkenaan, peserta akan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

"Penganjuran program di masjid juga turut memudahkan peserta untuk menunaikan solat zuhur dan asar berjemaah dengan selesa.

"Sepanjang kursus empat modul iaitu servis sistem roda, brek, pacuan akhir dan pelinciran diajar kepada peserta oleh pensyarah GiatMARA.

"Selain itu teori dan amali serta ujian kecekapan individu turut diadakan bagi melihat keupayaan peserta yang kebanyakan tidak mempunyai asas membaiki motosikal," katanya.

Tauw Fek berkata, MBFM akan terus menganjurkan pelbagai program yang memberi impak tinggi kepada golongan belia FELDA.

Bagi Pengerusi Masjid Nurul Iman, Jali Lodin berkata, pihak masjid akan terus memberi kerjasama kepada pihak yang mahu menganjurkan sebarang program latihan dan kemahiran kepada belia.

"Kita tidak mahu, masjid hanya menjadi tempat eksklusif umat islam beribadat semata - mata sebaliknya membuka pintu masjid dengan pelbagai acara dan program selagi ia memberi manfaat kepada masyarakat.

"Ia sekaligus akan menarik minat golongan muda untuk datang dan mengimarahkan masjid tanpa ada kekangan sehingga menyebabkan masjid hanya dihadiri jemaah golongan warga emas sahaja.

Sementara itu perserta Aniq Aizuddin Ismail, 17, berkata, kursus dihadiri sangat memberi manfaat kepadanya.

Menurutnya, kemahiran yang perolehi turut membolehkan dia mencari pendapatan sampingan.

"Kursus ini banyak memberi pendedahan kepada saya berhubung teknik yang betul dalam membaik pulih kerosakan motosikal.

"Saya juga berharap kursus pendek berkaitan enjin motosikal dapat dianjurkan pula selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 4:50 PM