MOHAMMED (kanan), Dr Sheikh Muszaphar (dua kanan) dan Arshad beramah mesra dengan pelajar. (Gambar kecil) Dr Sheikh Muszaphar. FOTO Syamsi Suhaimi
MOHAMMED (kanan), Dr Sheikh Muszaphar (dua kanan) dan Arshad beramah mesra dengan pelajar. (Gambar kecil) Dr Sheikh Muszaphar. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Rohana Idris


KEMUNCULAN angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor memeriahkan majlis graduasi 29 pelajar yang berjaya menamatkan kursus kepimpinan Danajamin100 di Kota Bharu, hari ini

Kehadiran Pakar Bedah Ortopedik itu ternyata menyuntik semangat dalam kalangan peserta yang perlu menjalani kursus itu selama 18 bulan.

Program anjuran Danajamin Nasional Berhad (Danajamin) dengan kerjasama Yayasan PINTAR (PINTAR) itu membabitkan pelajar yang dipilih bermula sejak tingkatan empat dan kursusnya tamat sehingga mereka mencapai ke tingkatan lima.

Pengerusi Danajamin Nasional Berhad, Datuk Mohammed Hussein, berkata sejak diperkenalkan empat tahun lalu, seramai 90 pelajar sekolah menengah mewakili seluruh negeri sudah menamatkan kursus Program Kepimpinan Danajamin 100 itu.

"Kursus itu merangkumi tiga elemen utama iaitu pembinaan watak, kepimpinan serta kemahiran profesional dan melalui pelbagai perancangan terperinci, sifat kepimpinan serta potensi pelajar yang terpilih dapat dimaksimumkan.

"Buat masa ini kumpulan keempat untuk program itu sedang berjalan yang membabitkan 30 pelajar dari Melaka dan Negeri Sembilan dan dijangka menamatkan kursus menjelang tahun hadapan," katanya, hari ini.

Majlis graduasi kali ketiga yang itu membabitkan pelajar dari enam sekolah di Kelantan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Balah, Jeli; SMK Sungai Petai, Pasir Puteh; SMK Long Ghafar 2; SMK Padang Enggang; SMK Ketereh dan SMK Penambang di Kota Bharu.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan PINTAR, Tan Sri Arshad Ayub.

Mohammed berkata, program itu mempunyai banyak manfaat kepada peserta dalam membina jati diri dan menonjolkan potensi dalaman yang sebelum ini pelajar tidak tahu.

"Kali ini untuk pertama kali, kita membawa angkasawan negara untuk memberi inspirasi kepada pelajar yang terbabit dengan kursus ini," katanya.

Seorang peserta yang dianugerahkan sebagai tokoh pelajar cemerlang, Siti Hajar Mohd Kamal, 18, menyifatkan program itu sangat bermanfaat dalam mengukuhkan keyakinan dalam diri untuk berdepan di khalayak umum.

"Saya memang gemar bercakap di depan khalayak dan aktif dalam pertandingan pidato di sekolah.. jadi elemen pembinaan watak yang diajar dalam kem ini membantu menambahkan lagi keyakinan," katanya.

Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 5:41 PM